PESAWAH, Rahim Daud, 72, menunjukkan keadaan Sungai Kereh, Kampung Selamat, Tasek Gelugor yang tercemar dengan najis khinzir. FOTO ihsan CAP.
Zuhainy Zulkiffli


PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) kesal dengan kejadian pencemaran najis khinzir yang semakin serius di Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara.

Masalah sudah berlarutan sejak 40 tahun lalu itu bukan sahaja mencemarkan air Sungai Kereh, malah mendatangkan bau busuk selain mengancam lebih 2,000 penduduk serta 400 pesawah di kawasan terbabit

Presiden CAP, SM Mohamed Idris berkata, tinjauan CAP mendapati pengusaha khinzir di tempat itu mengalirkan sisa buangan najis ternakan mereka ke sungai di kawasan terbabit menyebabkan airnya menjadi hitam pekat dan berbau busuk.

Katanya, kampung berhampiran iaitu Kampung Air Melintas Kecil, Kampung Air Melintas Besar, Kampung Permatang Berangan, Kampung Tok Bedu dan Kampung Kubang Menerong turut terkesan.

“Keadaan lebih teruk pada waktu malam dan ketika hujan apabila lebih banyak sisa najis haiwan itu dilepaskan pengusaha terbabit ke dalam sungai.

“Masalah ini menyebabkan sumber bekalan air bagi tanaman padi diusahakan pesawah di lima kampung terbabit tercemar dan mengalami kerosakan,” katanya dalam satu kenyataan di Georgetown, semalam.

Mohamed Idris berkata, ada pesawah mengadu kulit mereka gatal selepas terkena air tercemar itu.

Katanya, pesawah mendakwa mengalami kerugian puluhan ribu ringgit akibat kerosakan tanaman padi dan kekurangan hasil berikutan ancaman pencemaran najis berkenaan.

“Jika dibiarkan masalah itu, ia bukan sahaja mencemar alam sekitar di kawasan berkenaan malah penduduk mungkin berisiko mendapat penyakit pada masa akan datang.

“Justeru, CAP berharap kerajaan Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Pertanian dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) segera mengambil tindakan bagi mengatasi masalah ini.

“Manakala Jabatan Kesihatan Negeri perlu melakukan pemantauan secara berterusan bagi memastikan supaya tidak ada sebarang penyakit menular menerusi pencemaran itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 12:44 AM