Senjata dan dadah yang dirampas daripada lelaki di Kampung Baru, Changlun. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


TINDAKAN lelaki memiliki senjata berjadual dan syabu 8.74 gram mengundang padah apabila ditahan dalam Op Lejang Bersepadu di sebuah rumah di Jalan Sintok, Kampung Baru, Changlun, Kubang Pasu malam tadi.

Dalam serbuan 12.30 tengah malam itu, pemandu lori berusia 35 tahun itu cuba melarikan diri menyebabkan berlaku pergelutan sebelum dia ditahan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, pemeriksaan lanjut di rumah itu menemui pisau lipat, pisau berhulu panjang, parang dan tiga paket plastik lut sinar disyaki dadah.

Menurutnya, polis turut merampas kereta Honda Accord dan Honda Civic untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan awal dia mengaku memiliki pisau itu untuk mempertahankan diri dan semua yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk siasatan lanjut.

“Semakan juga mendapati dia memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK)6 (1) 1985,” katanya.

Mohd Ismail berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 7 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Kes dadah disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12 (2) akta sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 12:13 PM