SHAMSUL berasal dari Marudi, Sarawak, tidak menyangka ditakdirkan memeluk Islam di Kelantan. FOTO Zaman Huri Isa
Syaherah Mustafa


“JIWA saya sebak dan tenang sebaik melafazkan dua kalimah syahadah,” kata Shamsul Rahman Hii Abdullah, 41, yang memeluk Islam di hadapan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Isnin lalu.

Kisah Shamsul memeluk Islam itu tular di media sosial selepas dimuat naik di laman Facebook rasmi Menteri Besar Kelantan.

Shamsul Rahman Hii Abdullah, 41, berasal dari Miri, Sarawak, berkata dia datang ke negeri ini sempena Program Ekspo Karnival Bio Kelantan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong bermula 10 hingga 14 April lalu.

Bagaimanapun, Pengarah Program Koperasi Barisan Usahawan Berhad (KOPBARIS) berkata, dia tidak menyangka ditakdirkan memeluk Islam di negeri Serambi Makkah itu.

“Ketika sedang menguruskan karnival, majikan bertanyakan sama ada saya mahu memeluk Islam di hadapan Menteri Besar.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus bersetuju memandangkan saya sudah lama menyimpan hasrat ini. Tambahan pula, Menteri Besar adalah seorang yang sangat saya kagumi terutama dalam ilmu agamanya.

“Tak dapat saya gambarkan perasaan ketika bersalam dengan beliau dan sebaik saja melafazkan dua kalimah syahadah, jiwa berasa sangat tenang dan sebak. Alhamdulillah, urusan saya untuk memeluk Islam dipermudahkan,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu, hari ini.

Menurutnya, dia sudah lama menyimpan niat untuk mengucap dua kalimah syahadah kerana tertarik dengan cara hidup rakan beragama Islam manakala ibunya yang berketurunan Iban, tidak menghalang pilihannya.

“Sebelum ini, saya berpuasa penuh selama tiga tahun berturut-turut kerana ingin memahami agama dengan sebaiknya dan pernah mengikuti rakan ke masjid ketika solat Jumaat dan mendengar khutbah.

“Saya menafikan memeluk Islam kerana ingin berkahwin. Sebaliknya saya jatuh cinta pada agama ini kerana pengisiannya yang indah dan akan terus mendalaminya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 4:21 PM