KUALA LUMPUR 17 APRIL 2019. Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, meninggalkan mahkamah ketika berhenti rehat bagi perbicaraan atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


NAMA ahli perniagaan, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low disebut dalam perbicaraan hari keempat dalam perbicaraan kes tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib menyebut nama itu ketika menyoal balas Pengurus Bank Negara Malaysia (BNM) Ahmad Farhan Sharifuddin, 32, yang ketika itu menjadi pegawai penyiasat dalam kes itu.

Terdahulu, Ahmad Farhan memberitahu mahkamah bahawa pada 6 Julai 2015, beliau bersama pasukannya pergi ke Ambank untuk bertemu pegawai bank di situ iaitu Joanna Yu and Crystal Yap.

HARVINDERJIT: Adakah anda menemui sebarang maklumat berkaitan Jho Low dan 1MDB ketika itu?

AHMAD FARHAN: Saya tidak ingat.

HARVINDERJIT: Bagaimana dengan Jho Low, and tidak boleh ingat apa-apa tentang dia?

AHMAD FARHAN: Ya, namanya tidak pernah ditemui ketika serbuan.

HARVINDERJIT: Ada Joanna maklumkan bahawa dia ada berkomunikasi dengan Jho Low berhubung 1MDB?

AHMAD FARHAN: Saya tidak tahu.

Pada peringkat ini, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff membantah sama ada soalan itu relevan dengan kes kerana ia membabitkan 1MDB dan bukan SRC International.

Terdahulu, Ahmad Farhan memberitahu mahkamah bahawa serbuan bagi mendapatkan dokumen di Ambank Group cawangan Jalan Raja Chulan pada 6 Julai 2015 adalah berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan akaun 1MDB.

Beliau mendakwa menerima arahan daripada Pengarah Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan BNM, Abdul Rahman Abu Bakar untuk menyiasat kesalahan yang disyaki dilakukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

HARVINDERJIT: Apa arahan yang kamu peroleh? Kamu ke sana untuk menyiasat berhubung 1MDB?

AHMAD FARHAN: Ya.

HARVINDERJIT: SRC International?

AHMAD FARHAN: Ya

HARVINDERJIT: Gandingan Mentari Sdn Bhd?

AHMAD FARHAN: Ya.

HARVINDERJIT: Ihsan Perdana?

AHMAD FARHAN: Ya

HARVINDERJIT: Kamu merampas semua 12 akaun termasuk milik Najib?

AHMAD FARHAN: Ya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 6:53 PM