KPKT serta JBPM digesa audit aset dan peralatan bomba. Gambar kecil Lee.
Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digesa supaya menjalankan audit menyeluruh terhadap aset dan peralatan jabatan itu bagi memastikan keselamatan petugas ketika operasi.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, aspek perolehan peralatan dan jentera bomba perlu diperkemaskan bagi mengelak perkara sama berulang.

“Pendedahan terbaru mengenai 97 jentera bomba berharga RM165 juta didakwa tersadai di seluruh negara seharusnya membuka mata semua pihak mengenai kepentingan perkhidmatan bomba dan aspek keselamatan anggota bomba ketika menjalankan tugas.

“Awal tahun ini, kita dikejutkan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kes penyelewengan pembelian baju kalis api JBPM bernilai RM13.5 juta yang didakwa tidak selamat.

“Sementara menunggu hasil siasatan pihak berkaitan, penting bagi pihak kementerian dan JBPM untuk melakukan audit menyeluruh terhadap semua aset mereka bagi memastikan ia selamat terutama jentera dan peralatan digunakan anggota bomba,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, amat menyedihkan apabila dilaporkan baju kalis api digunakan pegawai dan anggota bomba seluruh negara kini berusia antara lima hingga 10 tahun, selain menggunakan baju kalis api yang ‘nazak’.

Katanya, 30 hingga 40 peratus anggota bomba di seluruh negara dilapor berkongsi baju kalis api dengan rakan mereka.

“Saya amat bimbang jika terdapat peralatan lain yang digunakan anggota JBPM tidak memenuhi standard ditetapkan atau berada dalam keadaan tidak selamat akibat aspek perolehan tidak berintegriti dan penyelenggaraan lemah.

“Antara perlu diberi perhatian adalah kelengkapan perlindungan diri (PPE) digunakan ketika operasi memadam kebakaran serta operasi mencari dan menyelamat di daratan serta dalam air,” katanya.

Beliau berkata, tindakan segera SPRM dan KPKT untuk menyiasat kes itu amat dialu-alukan bagi menentukan sama ada wujud penyalahgunaan kuasa atau proses tidak betul.

Katanya, jika ada penyelewengan berlaku, tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang terbabit manakala aspek perolehan peralatan dan jentera bomba perlu diperkemaskan bagi mengelak kes sama berulang serta meningkatkan integriti di semua peringkat.

“Saya bersetuju dengan pandangan bekas Ketua Pengarah JBPM, Datuk Dr Soh Chai Hock bahawa jentera canggih tanpa penyelenggaraan dan kendalian baik akan mengundang kerosakan dan membahayakan operasi menyelamat,” katanya.

Berita berkaitan:

  • KPKT tunggu laporan jentera bomba tersadai
  • https://www.hmetro.com.my/utama/2019/04/444852/jentera-bomba-cap-ayam-metrotv
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 7:40 PM