Bangunan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya. Gambar Hiasan
Siti A’isyah Sukaimi


ORANG ramai khususnya yang berurusan dengan pemilik rumah inap (homestay) palsu perlu mengenal pasti ketulenan perniagaan berkenaan sebelum sebarang urusan lanjut dibuat.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, konsep homestay yang dikatakan menipu pelanggan dan mengiklankannya di laman sosial adalah bukan homestay tulen dari Program Pengalaman Homestay Malaysia yang diwujudkan di bawah kementerian.

“Homestay palsu atau ‘illegal homestay’ dan rumah tamu persendirian ini tidak tulen malah sebenarnya menyalah guna nama homestay kerana mereka ini mengiklankannya di atas talian.

“Modus operandi mereka adalah sama iaitu menawarkan penginapan sewa jangka pendek dan ini sama sekali berbeza dengan Program Pengalaman Homestay di bawah seliaan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya yang memberikan pengalaman kepada pelancong untuk berinteraksi serta mengalami gaya hidup seharian masyarakat kampung dan kebudayaan setempat.

“Homestay yang tulen tidak terbabit dalam sebarang penipuan seumpama ini kerana mereka adalah pengusaha homestay yang benar-benar menjalankan perniagaan secara jujur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan sebuah akhbar mengenai sindiket homestay tipu.

Mohamaddin berkata, berdasarkan laporan itu, jelas membuktikan aktiviti berkenaan tidak sama sekali menggambarkan ia ada kaitan dengan program yang diselia oleh kementerian itu dan menyarankan orang ramai yang tertipu membuat laporan polis supaya tindakan lanjut boleh diambil.

“Apa yang dilaporkan di media ketika ini jelas membuktikan ia satu penipuan dan pihak polis boleh mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit dan kita amat bersimpati dengan nasib menimpa mangsa yang ditipu ribuan ringgit.

“Lebih parah lagi jika aktiviti penipuan terbabit turut didalangi di kalangan pengusaha pelancongan atau homestay berdaftar dengan kementerian ini, jadi pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil tindakan undang-undang dan menyita premis mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, mengikut laporan itu, bukan saja orang awam malah pemilik homestay turut ditipu sindiket yang menyamar sebagai pelanggan dan menyewakannya kepada pelanggan lain.

Bagi urusan sindiket di atas talian pula, Mohamaddin berkata, beliau sendiri akan mengarahkan pegawai sedia ada untuk menyiasat syarikat atau individu terbabit dengan penipuan itu.

“Saya ingin mengingatkan kepada pelancong yang ingin menginap di homestay supaya berhubung terus melalui talian homestay yang menjalankan perniagaan dan bukan sebaliknya,” katanya.

Beliau menegaskan, modus operandi seumpama itu kerap dikesan berlaku sebelum ini terutama apabila tibanya musim cuti persekolahan dan musim perayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 8:38 PM