Azizul Adzani (Gambar arkib). FOTO Eizairi Shamsudin
Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


PENGURUS Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan Bank Negara Malaysia (BNM) Azizul Adzani Abdul Ghafar berkali-kali menafikan beliau menipu ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau juga menafikan ada ‘dilatih’ untuk tidak bercakap benar dan ada ‘menyembunyikan’ sebarang maklumat berhubung kes itu.

Azizul berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam perbicaraan tujuh kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd.

Di dalam prosiding hari ini, Azizul berkata selepas serbuan di Ambank cawangan Jalan Raja Chulan pada 6 Julai 2015, pihaknya membuat laporan polis dengan menyatakan ia disiasat mengikut kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFAPUAA) 2001.

Menjawab soalan Harvinderjit, saksi mengesahkan bahawa laporan polis itu dibuat pada jam 10.04 minit malam pada hari yang sama di Balai Polis Tun H.S Lee iaitu selepas memperoleh dokumen yang diperlukan.

HARVINDERJIT: Kamu membuat serbuan itu dan merampas dokumen yang diperlukan mengikut arahan Pegawai Penyiasat Ahmad Farhan Shahruddin dan sebaik sahaja selesai dokumen diambil, kamu sudah tahu siasatan dibuat mengikut Seksyen 4 (1) AMLATFPUAA. Bagaimana kamu tahu ia disiasat mengikut akta itu?

AZIZUL: Berdasarkan dokumen yang dirampas.

HARVINDERJIT: Adakah kamu tahu bahawa membuat laporan polis dengan memberi maklumat tidak benar adalah kesalahan mengikut Akta Kanun Keseksaan?

AZIZUL: Ya, saya tahu.

HARVINDERJIT: Pada 6 Julai 2015 iaitu pada jam 10.04 minit malam kamu pergi membuat laporan di Balai Polis Tun HS Lee dan ia adalah 34 minit selepas dokumen serbuan diterima daripada Pengurus Ambank cawangan Raja Chulan, R. Uma Dewi.

AZIZUL: Ya betul.

HARVINDERJIT: Tetapi ketika itu kamu bukan pegawai penyiasat? (Azizul adalah pegawai penggeledahan ketika itu)

AZIZUL: Ya betul.

HARVINDERJIT: Kamu tidak menghubungi pegawai penyiasat untuk membuat pengesahan?

AZIZUL: Tidak.

Sementara itu menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim, saksi memberitahu mahkamah bahawa ada beberapa dokumen tidak berada di dalam senarai penggeledahan yang dibuat.

SUHAIMI: Jika tengok senarai rampasan, kamu ada buat catatan dokumen yang dirampas, bagaimana kamu boleh buat semua catatan itu?

AZIZUL: Saya ada buat semakan terhadap kandungan setiap fail dan sampul surat yang diperoleh daripada Uma, secara kasar. Ada juga dokumen yang tidak dinyatakan dalam senarai geledah.

SUHAIMI: Kenapa tidak membuat catatan?

AZIZUL: Ia adalah kerana terdapat banyak dokumen ketika itu dan saya hanya ada masa satu jam. Oleh itu saya hanya catatkan nama dokumen yang paling atas.

Prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

Najib, 65, mengaku tidak bersalah akan dibicarakan atas tujuh pertuduhan merangkumi kesalahan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.

Ia adalah sebahagian daripada 42 pertuduhan dihadapi oleh Najib yang sudah enam kali dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan yang sama tetapi dana berbeza.

Najib didakwa pada 4 Julai tahun lalu atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos 2018 pula, beliau dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan dari dana sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 9:50 PM