KEBAKARAN memusnakan tiga buah rumah di Kampung Kawang Lama, Jalan Papar. FOTO Ihsan Bomba
Rafiqah Dahali


ANGGOTA bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Papar cedera di tangan ketika memadam kebakaran membabitkan tiga rumah dalam kejadian di Kampung Kawang Lama, Jalan Papar, di Papar, malam tadi.

Turut dilaporkan terbakar adalah sebuah kereta dan tiga motor dalam kejadian kira-kira 7 malam itu.

Ketua Balai Bomba Papar, Roslie Jun berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 7.10 malam sebelum menghantar 20 anggota bersama tiga jentera dan dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi terbabit.

“Kira-kira 90 peratus rumah terbakar. Anggota mengendalikan jentera EMRS yang cedera ketika membuat operasi dihantar ke Hospital Papar untuk rawatan lanjut.

“Operasi memadam api tamat sepenuhnya pada 11.10 malam,” katanya.

Roslie berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih di dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 9:24 AM