FOTO hiasan
Ramli Ibrahim


“SAYA bersyukur mimpi memeluk Islam menjadi kenyataan,” kata penduduk Orang Asli, Rahim Malek, 58, selepas mengucap dua kalimah syahadah sempena Program Dakwah dan Ramah Mesra Masyarakat Orang Asli Koa Mendrop, Pos Brooke, Gua Musang, semalam.

Rahim antara 21 penduduk Orang Asli yang memeluk Islam di hadapan Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Adnan Ab Rahman.

Program selama tiga hari berakhir semalam anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Rahim mengakui sebelum ini hidupnya kosong kerana tidak mempunyai agama.

“Saya sering mendengar penduduk Islam di kampung ini mengaji al-Quran tetapi ketika itu hati belum terbuka untuk memeluk Islam.

“Malah, saya sudah beberapa kali bermimpi indahnya hidup jika peluk Islam dan hari ini (semalam) menjadi kenyataan selepas mengucapkan kalimah syahadah,” katanya.

Sementara itu, Rizu Anis, 23, berkata sebelum ini dia sering melihat rakan sebaya mengaji al-Quran dan solat berjemaah di surau kampung berkenaan.

“Hari ini pintu hati saya terbuka untuk memeluk Islam dan saya bersyukur semuanya berjalan lancar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 11:26 AM