Anthony Loke (tengah) selepas Majlis Perasmian Stesen FedEx Johor di Senai Airport City. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mary Victoria Dass
maryvictoria@nstp.com.my


KEMENTERIAN Pengangkutan sedia kehilangan pegawai penguat kuasa di bawah kementerian itu jika mereka didapati tidak amanah termasuk terbabit rasuah.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya bersedia bekerjasama bagi membantu siasatan pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan pegawai jabatan berkenaan terbabit rasuah.

Beliau berkata, ia termasuk kes membabitkan 24 penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang yang ditahan reman tujuh hari mulai semalam di Pulau Pinang.

“Kita memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dan jika terdapat pegawai penguat kuasa terbabit dalam unsur rasuah kita mengalu-alukan tindakan tegas.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memang tegas untuk membersihkan pentadbiran kerajaan dalam semua peringkat, bukan saja di peringkat kementerian dan kabinet malah semua peringkat penguat kuasa.

“Kes seumpama ini sudah kerap kedengaran mereka melindungi pengusaha lori dan sebagainya tetapi untuk mendapatkan bukti memerlukan siasatan rapi dan perancangan SPRM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan pelancaran FedEx Johor Station di Taman Perindustrian I-Park SAC, Senai, Kulai hari ini.

Menurutnya, pihaknya yakin dengan keupayaan SPRM membuat siasatan dan tangkapan.

Katanya, buat masa ini pihaknya belum memuktamadkan sebarang perancangan untuk menstruktur semula pegawai penguat kuasa dan enggan mengulas lanjut.

“Cuma bagi pihak kerajaan, kita melihat cara menjalankan pentadbiran dengan baik dan sentiasa memperbaiki kelemahan,” katanya.

Mahkamah Majistret di Georgetown semalam membenarkan permohonan reman selama tujuh hari terhadap 30 individu, termasuk 24 anggota JPJ.

Perintah reman sehingga Selasa ini dikeluarkan Penolong Pendaftar Kanan, Nur Fadrina Zulkhairi, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Kelmarin, semua suspek berusia 31 hingga 54 tahun ditahan di sekitar Pulau Pinang dalam operasi khas SPRM dari 10 pagi hingga 4 petang.

Selain penguat kuasa JPJ, lapan termasuk tiga wanita adalah orang awam, dipercayai menjadi proksi kepada penguat kuasa, tonto serta pemilik syarikat.

Difahamkan, 24 penguat kuasa JPJ berjawatan Gred 19 hingga Gred 32 itu adalah sebahagian daripada 75 pegawai agensi itu yang dipantau SPRM.

Selain itu, terdapat sekurang-kurangnya 75 pegawai JPJ disyaki menerima rasuah daripada pemilik syarikat lori dengan tangkapan dijangka dibuat dalam operasi seterusnya.

Setiap anggota JPJ terbabit dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 hingga RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan melindungi pemandu lori lebih muatan dengan tidak mengambil tindakan.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Operasi JPJ Pulau Pinang tak lumpuh' [METROTV]

Sticker 'kebal'

24 anggota JPJ direman tujuh hari [METROTV]

Bas SPRM bawa tahanan terbakar [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 3:10 PM