X
SHAMSUL Shah (tengah) bersama Hamzani (dua kiri) memberi kata semangat kepada peserta program Hijrah Kasih 8. FOTO Syamsi Suhaimi
SHAMSUL Shah (tengah) bersama Hamzani (dua kiri) memberi kata semangat kepada peserta program Hijrah Kasih 8. FOTO Syamsi Suhaimi
Siti Nor Hidayatidayu Razali


PESALAH juvana di Penjara Pengkalan Chepa dan Machang berpeluang menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi termasuk sijil, diploma dan ijazah sarjana muda menerusi kerjasama dengan Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

Pengarah Penjara Kelantan Timbalan Komisioner Penjara Hamzani Che Ibrahim berkata, program perintis itu akan dilaksanakan tahun ini selepas perbincangan dengan OUM.

Katanya, OUM kini dalam proses mencari peruntukan luar untuk menaja pengajian penghuni penjara yang akan diberikan percuma.

“Kita mahu memberi pendidikan secara holistik kepada penghuni penjara yang akan memberi fokus kepada mereka yang benar-benar berketrampilan.

“Penghuni yang berpeluang menyambung pengajian adalah mereka berusia 18 hingga 21 tahun mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya ketika ditemui dalam program Hijrah Kasih 8 anjuran bersama Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Sekolah Satelit Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu, hari ini.

Ia dirasmikan Timbalan Pengarah Pembangunan Dakwah dan Syiar Islam BPI KPM, Shamsul Shah Tarja.

Dalam perkembangan sama, Hamzani berkata, Hijrah Kasih 8 memberi peluang kepada 65 penghuni juvana memperoleh pendidikan pembangunan sahsiah diri dan fardu ain bermula kelmarin hingga hari ini.

“Ini adalah program kali pertama diadakan di sekolah satelit ini untuk menerapkan nilai murni dan jati diri dalam kalangan penghuni juvana.

“Program ini turut membabitkan anggota keluarga terutama ibu bapa untuk mengeratkan hubungan mereka yang terputus selepas menghuni penjara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 4:50 PM