ANTHONY Loke Siew Fook (dua dari kiri) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin (kiri) buat lawatan kerja ke Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru di Stesen Kereta api, di Kempas. FOTO Hairul Anuar Ab Rahim
ANTHONY Loke Siew Fook (dua dari kiri) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin (kiri) buat lawatan kerja ke Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru di Stesen Kereta api, di Kempas. FOTO Hairul Anuar Ab Rahim
Mary Victoria Dass


PROJEK Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Gemas-Johor Bahru sepanjang 192 kilometer melalui 11 stesen dijangka beroperasi sepenuhnya mulai awal 2022.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pelaksanaan projek bernilai RM8.9 billion itu kini 37 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada 2021.

Beliau berkata, kelajuan tren berkuasa 25,000 voltan itu adalah 140 kilometer sejam dan anggaran masa perjalanan dari KL Sentral ke JB Sentral adalah 3 jam 30 minit.

“Dalam lawatan kerja hari ini, saya meninjau tapak pembinaan landasan dan melihat Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Kempas Baru yang bakal dibangunkan selepas pembinaan landasan berkembar.

“Saya juga mengadakan dialog berkaitan dengan wakil rakyat di kawasan jajaran projek termasuk membincangkan isu-isu kewujudan bangunan di sekitar pembinaan landasan berkembar yang menjadi halangan kepada projek berkenaan.

“Kita mengenalpasti 324 bangunan termasuk lapan tempat ibadat, rumah dan bangunan. Bagaimanapun, kita menggunakan beberapa pendekatan bagi menyelesaikan isu pemindahan dan perobohan bangunan sebaik mungkin terutama rumah ibadat diuruskan dengan penuh rasa hormat bagi mengelak isu sensitif,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 191 kes perobohan dan pemindahan berjaya diselesaikan manakala baki 133 kes masih di peringkat penyelesaian.

Anthony berkata, pihaknya yakin mampu menguruskan pemindahan atau perobohan baki bangunan dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, selain bayaran sagu hati ditawarkan, bagi rumah ibadat seperti kuil, kerajaan Pusat mendapat kerjasama kerajaan negeri mengesan tapak pemindahan sesuai.

“Pemindahan berkenaan tidak dapat dielakkan untuk memberi ruang kepada projek berkenaan. Pelaksanaan projek ini menjadi pemangkin pembangunan dan transformasi Johor serta memberi pelbagai manfaat.

“Projek ini diberi keutamaan bagi memodenkan perkhidmatan kereta api negara sekali gus menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan itu sebagai cara mengurangkan kemalangan jalan raya.

“Manakala bagi Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) pula, ia masih ditangguh dan dipersetujui Singapura hingga Mei 2020. Sebarang keputusan akan dibuat selepas tamat tempoh itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 5:26 PM
Digital NSTP Subscribe