Skuad Khas Harian Metro


KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menubuhkan jawatankuasa dalaman bagi menyiasat punca utama 40 peratus jentera pemadam kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tersadai.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, jawatankuasa yang sudah dibentuk itu akan meneliti prosedur dan proses perolehan (pembelian) jentera berkenaan dilakukan.

“Ada cadangan untuk buat forensik, saya akan lihat jika ada keperluan kita laksanakan. Jawatankuasa akan berperanan membentang laporan itu. Saya akan adakan mesyuarat dan memberikan arahan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam sidang media di KPKT di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, beliau yang sudah memperoleh laporan awal daripada JBPM mengesahkan berlaku rundingan terus kepada pembelian jentera JBPM.

“Laporan awal adalah berdasarkan fakta yang mana ada dua anugerah tender diberikan iaitu pada 2016 dan 2017. Tahun 2016 dua syarikat diberikan tender manakala 2017 sebuah syarikat diberikan tender (pembekalan) fasa 1 dan fasa 2. Kedua-duanya secara direct nego (rundingan terus) memang saya dah dapat laporan dan akan teliti.

“Kenapa diadakan tender, ada keperluan ketika itu yang mana jentera atau kenderaan tidak boleh berfungsi. Kenapa atau sebab diberikan secara rundingan terus, saya masih belum dapat maklumat,” katanya.

Menjawab soalan wartawan, Zuraida berkata, banyak faktor menyebabkan jentera agensi berkenaan tersadai.

“Jentera tersadai sebab hadapi kemalangan, hendak dilupus, nak dipertingkatkan dan diganti. Saya kena kaji juga kenapa dan jentera itu dapat (dibekalkan) pada tahun berapa. Kalau dapat tahun 2017 takkan cepat sangat nak rosak dan sebagainya,” katanya.

Ditanya pembabitan tokoh politik yang berperanan dalam urusan tender langsung, Zuraida berkata, dia tidak pasti.

“Tunggu siasatan dilakukan dulu, pemilik syarikat pembekal pun saya belum dapat teliti,” katanya.

Katanya, beliau juga akan bertemu kepimpinan JBPM untuk memeriksa keperluan jentera berkenaan.

“Biar saya semak dulu, kalau ada keperluan mendesak kita perlu baik pulih untuk dia berfungsi akan dilakukan,” katanya KPKT tidak melakukan pemotongan bajet penyelenggaraan jentera seperti dilaporkan.

Harian Metro pada 15 Januari lalu melaporkan, kegagalan pembekal menyediakan reka bentuk dan pemasangan peralatan mengikut spesifikasi sepatutnya dipercayai punca utama jentera pemadam kebakaran

JBPM yang dibeli pada 2007, 2010 dan 2014 ‘tersadai’.

Untuk rekod, perolehan 242 jentera JBPM atau Fire Rescue Tender (FRT) bagi ketiga-tiga tahun itu membabitkan nilai RM420 juta.

Malangnya, hampir 40 peratus atau 97 jentera JBPM bernilai RM165 juta di seluruh negara terutama Selangor kini mengalami kerosakan pada putaran rotor di bahagian batang pemanduan (drive shaft) dan sistem sadap kuasa atau power take off (PTO) menyebabkan jentera gagal berfungsi.

  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 8:32 PM