MAHATHIR berucap dalam Majlis Pelancaran 5G di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


MALAYSIA mampu memanfaatkan sepenuhnya teknologi generasi kelima (5G) dalam tempoh tiga tahun lagi sekali gus membantu melonjakkan ekonomi negara ke arah lebih kukuh dan mampan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau yakin ia dapat dicapai jika persiapan mencukupi dilakukan untuk menggerakkan transformasi teknologi itu.

Katanya, negara kini berada pada landasan tepat ke arah era baru dan ia asas penting untuk Malaysia kekal relevan dan berdaya saing.

“Keupayaan untuk mengikuti dan selari dengan kemajuan teknologi akan memberi kesan kepada kejayaan sesebuah ekonomi. Justeru, saya mengambil peluang ini untuk mengajak pemimpin perniagaan supaya menguasai Revolusi Industri 4.0 atau Industri 4.0 bagi melengkapkan strategi perniagaan masing-masing ke arah teknologi itu.

“Oleh itu, mereka (ahli perniagaan) perlu melabur dalam aspek modal insan kerana tanpa pendekatan proaktif, perniagaan dan pekerja mungkin hilang potensi dalam ekonomi era digital ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran 5G di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan pada November tahun lalu sudah membentuk Pasukan Petugas 5G bagi mengenalpasti potensi yang boleh diperoleh daripada 5G.

Dr Mahathir berkata, perubahan dari 4G ke 5G bukan perkara yang boleh dilakukan semalaman sebaliknya memerlukan usaha yang ketara dalam penyelidikan dan pembangunan, kerjasama industri dan sumber diperlukan untuk menyokong usaha itu.

“Saya dengan sukacitanya menyatakan bahawa kerajaan akan memulakan Rancangan Fiberisasi dan Penyambungan Nasional (NFCP) untuk memastikan kesediaan dan penggunaan teknologi 5G yang tepat pada masanya.

“Teknologi 5G akan memberi kesan kepada setiap industri yang penting untuk pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Katanya, industri seperti pembuatan menyumbang 22 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh lima tahun lalu, masih kekal penting kepada ekonomi negara.

Dr Mahathir berkata, menerusi pembuatan pintar atau komunikasi jenis mesin secara besar-besaran, kerajaan berharap dapat menarik pelaburan bernilai tambah tinggi, teknologi tinggi dan pengetahuan intensif dalam bidang seperti aeroangkasa, bahan kimia dan produk kimia, jentera dan peralatan, peralatan perubatan dan elektrik dan elektronik.

“Menerusi sektor pembuatan, ia membolehkan Malaysia secara konsisten mempamerkan dinamik dan ketahanan untuk berkembang serta menarik pelaburan langsung asing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 9:00 PM