MUHAMMAD Zahiruddin dikatakan dilihat di kawasan perumahan Darus Syifa di Bangi, beberapa hari lalu. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


KANAK-KANAK lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Bandar Seri Putra, sejak Isnin lalu, dikatakan dilihat di kawasan perumahan Darus Syifa di Bangi, beberapa hari lalu.

Mangsa, Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi, 8, atau lebih mesra dengan panggilan Zahir itu dikatakan keluar dari rumahnya kira-kira 8 pagi, Isnin lalu, untuk keluar bermain bersama rakannya.

Ibu mangsa, Sainih Sunding, 46, berkata, dia dimaklumkan polis mengenai maklumat itu, awal pagi hari ini.

“Saya dimaklumkan ada orang yang melihat kanak-kanak lelaki seiras Zahir di kawasan berkenaan melalui rakaman kamera tertutup (CCTV).

“Bagaimanapun, kami (ahli keluarga) masih menunggu maklumat lanjut mengenai kesahihan info berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dia keluar dari rumahnya kira-kira jam 10 pagi tadi untuk mencari anak bongsu daripada lima adik beradik itu di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi Rosman Majid berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak berkenaan di sekitar Sungai Semenyih, pagi ini, dihentikan.

“Buat masa ini, operasi itu dihentikan berdasarkan petunjuk baru diperoleh polis mengenai lokasi mangsa.

“Kami bersedia memberi bantuan sekiranya bantuan serta khidmat pihak bomba diperlukan oleh polis dalam usaha mengesan kanak-kanak terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Portal Harian Metro sebelum ini melaporkan kehilangan Zahir disedari ibunya sebaik tiba di rumahnya selepas pulang dari tempat kerja.

Berita berkaitan

[UPDATE] Operasi jejak Zahir ditangguh [METROTV]

Zahir di Bandar Tasik Selatan?

Zahir di mana?

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 10:41 PM