NOR Farhatul Fairuzah memperdengarkan bacaan Al-Quran pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61, di Pusat Konvesnyen Kuala Lumpur. FOTO Zunnur Al Shafiq


“ALHAMDULILLAH lega, dah selesai segala tanggungjawab saya sebagai peserta negara,” kata qariah Malaysia, Nor Farhatul Fairuzah Panut, 19, sebaik selesai memperdengarkan bacaannya pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) 2019, malam ini.

Menurutnya, dia sudah melakukan yang terbaik, walaupun mengakui agak tertekan sebelum ini memandangkan belum pernah menyertai majlis tilawah peringkat antarabangsa.

“Ini pertama kali buat saya memperdengarkan bacaan di pentas antarabangsa. Sebelum ini saya tak pernah mewakili negara, selalunya hanya di peringkat sekolah.

“Jadi, rasa agak tertekan dan gugup itu memang ada, tetapi saya cuba yang terbaik. Saya berselawat banyak-banyak sebelum itu,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara.


QARIAH dari Malaysia, Nor Farhatul Fairuzah. FOTO Zunnur Al Shafiq

Pada malam keempat MTHQA ini, pelajar Tingkatan Enam Atas Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu, Negeri Sembilan itu membaca ayat 83 dari surah al-Kahfi.

Turut memperdengarkan bacaan ialah Ilyas Lamhayaoui dari Maghribi, Mohammad Albi Ibrahim (Brunei), Saime Erk (Turki), Hadi Mowahhedeamin (Iran), Adnan Maati (Bosnia Herzegovina), Ahmad Daniyal Mohd Rizal (Singapura) dan Yassine Bekouassa (Algeria).

Nor Farhatul Fairuzah berkata, tujuan dia menyertai majlis tilawah ini sebenarnya untuk menilai kualiti bacaan sekali gus mengetahui kelemahan dihadapinya.

“Tujuan saya bukan apa, cuma hendak tahu kelemahan dalam bacaan, contohnya dari segi tajwid.

“Malah, sebagai anak muda, saya juga bertanggungjawab menunjukkan model kepada anak muda di luar,” katanya.

Beliau mempelajari al-Quran dan seni bacaannya daripada ibu bapanya sejak usia lima tahun.

Katanya, dia belajar daripada ibu, Jaliah Simin, 63, dan arwah ayah Panut Markum, yang meninggal pada usia 73 tahun pada 2017.

“Ibu dan ayah dulu adalah qari dan qariah bagi Selangor sekitar 1980-an,” katanya yang berasal dari Sungai Pelek, Sepang, Selangor.

MTHQA ke-61 ini bertemakan ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’, berlangsung selama enam hari dari 15 hingga 20 April ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadualkan menyempurnakan majlis penutup dan pengurniaan hadiah, pada Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 12:11 AM