LAPORAN portal Harian Metro mengenai kebakaran kilang penyimpanan plastik.
Nurul Amanina Suhaini


PASUKAN Bomba dan Penyelamat menggunakan 29 tong buih (foam) untuk memadam kebakaran kilang simpanan plastik di Jalan Desa Idaman 1/2, Taman Desa Idaman di Johor Bahru, petang hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, sehingga kini operasi masih dijalankan di tempat kejadian.

Katanya, operasi memadamkan kebakaran diketuai Penguasa Kanan Bomba I Mohamad Faizul Selamat dibantu sembilan pegawai kanan bomba, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, BBP Skudai (13), BBP Tebrau (11) dan BBP Pasir Gudang (enam).

“Kami turut mendapatkan bantuan daripada 20 anggota dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan enam anggota polis.

“Dalam operasi ini juga, kami menerima 29 tong buih (foam) bagi memadamkan api menggunakan buih,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 80 peratus daripada kilang berkeluasan 213.67 meter persegi itu sudah terbakar.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Kulai, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fauzi Awang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 4.54 petang sebelum lima jentera dan 21 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, sehingga kini, tiada mangsa cedera dalam kejadian itu dan pihaknya akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran serta nilai kerugian.

Berita berkaitan

Kilang simpanan plastik terbakar

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 12:32 AM