PENGUSAHA Tanaman Lemon, Zulkhairi kassim, 53, menunjukkan buah lemon yang belum masak di Ladang miliknya seluas 1 Hektar di Kampung Seberang Paya Empa, Mukim Derang. FOTO Sharul Hafiz Zam
Noorazura Abdul Rahman


PEMERGIAN anak akibat penyakit leukemia pada 2013 memberi tamparan hebat kepada jurutera di Sweden untuk berhenti kerja dan kembali ke Malaysia menjadi petani.

Bermula dengan menanam buah tin, Zulkhairi Kassim, 53, berkata, usaha menanam buah itu dilakukan bagi mendedahkan kepada orang ramai mengenai kebaikan buah tin yang dapat mencegah pelbagai penyakit.

Bagaimanapun akibat kurang membuat membuat kajian, dia gagal meluaskan tanaman itu berikutan memerlukan kos yang tinggi.

Selepas tiga tahun, Zulkhairi tekad melakukan kajian sendiri mengenai tanaman lemon pula.

“Lemon dipercayai mampu mencegah pelbagai penyakit termasuk kanser dan jantung, kematian anak kedua saya memberi kesedaran kepada saya betapa pentingnya mencegah daripada merawat.

“Pada 2016, saya terbang ke Sicily, Itali bersama beberapa agensi kerajaan dari Kedah melawat ladang lemon di sana, saya membeli 10 anak pokok lemon di sana dan apabila kembali saya hanya menanamnya di kawasan rumah dan melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri selama dua tahun,” katanya yang tinggal di Kampung Seberang, di Jitra.

Bercerita lanjut, Zulkhairi atau lebih dikenali sebagai Zul berkata, dalam tempoh itu dia berusaha menghasilkan anak pokok dan menjual anak pokok itu secara terkawal untuk menampung kehidupan.

Katanya, dia tidak mahu terburu-buru terus menanam pokok itu secara komersial sehinggalah pada Oktober tahun lalu dia mula menanam sebanyak 1,000 anak pokok lemon di kawasan seluas satu hektar di Kampung Seberang Paya Empa, di Derang, Pokok Sena, Alor Setar.

“Pokok lemon memerlukan cahaya matahari yang terik serta di kawasan yang agak sejuk, Alhamdulilah tanah dan iklim di kampung berkenaan sesuai untuk ditanam lemon.

“Kini pokok lemon ini sudah mula berbunga dan ada yang sudah mengeluarkan buah, ia dijangka dapat dituai pada hujung tahun ini, jadi saya berhasrat menanam 1,000 lagi anak pokok di kampung berkenaan,” kata bapa kepada tiga orang anak ini.

Zul berkata, ladang lemon yang diusahakan kini mendapat perhatian Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang turut menawarkan kerjasama supaya lemon dapat ditanam di Pantai Molek, Beris, Sik.

Katanya dengan keluasan kira-kira 10 hektar di Pantai Molek, dia yakin dapat menanam 10,000 anak pokok lemon di kawasan itu dan menjangkakan Kedah akan menjadi pengeluar lemon terbesar di Malaysia.

“Ia juga sekaligus dapat mengurangkan jumlah import lemon yang saya difahamkan Malaysia mengimport buah ini 100 peratus dari luar negara terutama dari Australia, China, India, Afrika Selatan dan New Zealand.

“Justeru saya mengalu-alukan kerjasama daripada agensi kerajaan lain seperti Jabatan Pertanian dan juga Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk membantu saya memasarkan lemon ini nanti.

“Malah saya yakin penduduk Malaysia selepas ini akan mula menjadikan penggunaan lemon sebagai satu daripada pelengkap menu harian seperti yang diamalkan penduduk di Eropah dan Timur Tengah untuk mencegah penyakit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 9:40 AM