KEADAAN motosikal milik Loh Kim Hong selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 72, Jalan Yong Peng - Kluang, simpang tiga masuk ke FELDA Kahang Barat, Kluang. FOTO Ihsan PDRM
Adnan Ibrahim


PENUNGGANG motosikal lelaki maut apabila dirempuh kereta ketika keluar simpang ke FELDA Kahang Barat, Kilometer 72Jalan Yong Peng - Kluang, dekat Kluang, semalam.

Mangsa, Loh Kim Hong, 30, maut di tempat kejadian akibat parah di badan dalam kejadian 3.30 petang itu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, kejadian berlaku apabila Kim Hong dari arah FELDA Kahang Barat menuju ke bandar Kluang.

Katanya, apabila tiba di simpang tiga mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dikatakan keluar secara melulu tanpa menyedari kereta Toyota dipandu wanita cuba memintas kenderaan lain dari arah Kluang ke Yong Peng.

“Akibat terlalu dekat dengan mangsa, pemandu kereta tidak sempat mengelak atau memberhentikan kenderaannya sebelum melanggar mangsa.

“Keadaan itu menyebabkan mangsa terjatuh dan parah di badan.

“Pasukan perubatan yang cuba memberikan rawatan mengesahkan mangsa meninggal dunia sebelum diserahkan polis untuk tindakan lanjut,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Mohd Abduh berkata, mayat mangsa dirujuk ke Jabatan Forensik Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk bedah siasat manakala pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Pengguna jalan yang menyaksikan kejadian ini diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 11:22 AM