PEMANGKU Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Rudy Abdullah (dua dari kiri) menunjukkan antara komputer yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di Lorong Brunei 3 Off Jalan Pudu, Kuala Lumpur, pada Selasa dan Rabu lalu. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


LAPAN individu termasuk seorang wanita ditahan dalam dua serbuan berasingan di Lorong Brunei 3 Off Jalan Pudu, di Kuala Lumpur, pada Selasa dan Rabu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Rudy Abdullah berkata, daripada jumlah itu, empat lelaki yang ditahan adalah warga Myanmar, dua lelaki tempatan serta dua individu warga Indonesia termasuk seorang wanita berusia antara 26 hingga 40 tahun.

“Dalam serbuan pertama Selasa lalu, 2.45 pagi, sepasukan anggota dari Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi membuat serbuan di sebuah premis di lokasi terbabit.

“Hasil serbuan itu, kami menahan empat lelaki warga Myanmar dan dua lelaki tempatan yang juga penjaga serta pemain di dalam premis terbabit. Selain itu, kami turut merampas 16 komputer riba, modem dan wang tunai berjumlah RM233.

“Siasatan awal mendapati premis itu dijadikan sebagai pusat judi dalam talian yang baru saja beroperasi seminggu ,” katanya pada sidang media di IPD Dang Wangi, di Kuala Lumpur, hari ini.

Rudy berkata, serbuan kedua pula dilakukan pada 8.20 malam, Rabu lalu di lokasi sama yang membawa kepada penahanan dua penjaga premis membabitkan seorang lelaki dan seorang wanita warga Indonesia.

“Kami merampas 16 komputer riba, modem dan wang tunai berjumlah RM200 dalam serbuan itu.

“Siasatan awal mendapati premis itu dalam proses untuk beroperasi sebagai pusat judi dalam talian,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek yang ditahan direman antara tiga hingga 14 hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 6 (1) akta yang sama selain Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dengan kegiatan judi. Mana-mana pihak yang yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan itu di daerah ini diminta menghubungi Cawangan D7 IPD Dang Wangi di talian 03 26002222,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 12:45 PM