GAMBAR Hiasan
Garret Dawum


KEGIATAN pasangan kekasih dalam aktiviti penyalahgunaan dadah terbongkar apabila dicekup pihak berkuasa di sebuah rumah di Jalan Sebuku, Bau.

Kedua-dua suspek berusia 37 dan 40 tahun ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau, jam 5.45 pagi, semalam.

Sumber berkata, ketika serbuan, kedua-dua suspek sedang berehat dan hasil pemeriksaan menemui dadah dipercayai syabu seberat 18.32 gram dengan nilai RM3,000.

“Polis menemui satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki syabu di ruang dapur rumah berkenaan.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki bekerja sebagai buruh positif dadah manakala pasangannya yang juga penganggur didapati negatif dadah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan itu.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika disabit kesalahan, kedua-duanya boleh dipenjara antara dua hingga lima tahun dan tiga hingga sembilan sebatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 2:44 PM