LOKE didenda RM10,000 dan penjara sehari selepas mengaku salah memberi suapan wang tunai RM100 kepada penjawat awam. FOTO Siraj Mohd Zaini
Siraj Mohd Zaini


AKIBAT cuba merasuah polis RM100, seorang tukang masak dipenjara satu hari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.

Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Loke Kam Chwee, 62, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberi suapan wang tunai RM100 kepada penjawat awam iaitu anggota polis sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana memandu kenderaan cukai jalan tamat tempoh.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan SBC 3, Batu Caves, kira-kira jam 3.45 petang, kelmarin.

Tertuduh yang bekerja di restoran didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Berdasarkan fakta kes, dua anggota polis Unit Kereta Peronda (MPV) membuat rondaan dan menahan Loke yang memandu kereta jenis Proton Saga Aeroback.

Namun, tertuduh memberi rasuah RM100 sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya berikutan kesalahan cukai jalan tamat tempoh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tuan Attfina Tuan Kamaludin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Rozilah turut mengarahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 3:51 PM