DR Shahrom ketika hadir untuk inkues menentukan punca kematian Adib. FOTO Saddam Yusoff
Sarah Zulkifli


MAHKAMAH Koroner Shah Alam, hari ini, diberitahu bahawa laporan bedah siasat anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kasim didapati mengelirukan disebabkan ada percanggahan pendapat dari pakar forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang melakukan bedah siasat itu.

Bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (dulu dikenali sebagai Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia), Prof Dr Shahrom Abd Wahid memberikan pendapatnya itu selepas disoal peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), hari ini.

Dr Shahrom yang pernah memberi keterangan dalam inkues kematian Penolong Pengarah Kastam Diraja Malaysia Selangor, Ahmad Sarbaini Mohamed yang terjatuh dari bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur, berkata, selepas meneliti laporan bedah siasat dikeluarkan Jabatan Forensik HKL, beliau berpendapat laporan hasil pemeriksaan dua pakar itu memuaskan dan benar.

“Namun, ada sedikit kekeliruan dalam rumusan bernombor 28 dan 29 yang merumuskan tiga isu pokok dalam laporan itu.

“Pertama, sama ada si mati keluar dari kenderaan EMRS dengan sendiri, kedua; si mati ditarik oleh orang lain dan ketiga; si mati mengalami kecederaan akibat dihimpit antara dua permukaan keras,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kekeliruan itu, beliau berkata, ada keterangan diberikan pakar sama bahawa Muhammad Adib turun dan kemudian dilanggar pintu van EMRS lalu terhumban ke jalan.

“Dalam rumusan laporan bedah siasat ke-29 juga menunjukkan pakar tidak tahu sama ada mangsa terhimpit atau tidak,” katanya.

Dalam keterangan di mahkamah sebelum ini, laporan bedah siasat Muhammad Adib dikeluarkan saksi ke-24, Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi.

Dalam prosiding sama, saksi pakar itu memberitahu hipotesis menyatakan Muhammad Adib turun sendiri dari van EMRS dan kemudian dilanggar pintu van ketika kenderaan itu mengundur adalah tidak benar dan perlu diuji.

“Berdasarkan eksperimen kawalan (control experiment) yang dilakukan pihaknya, adalah sangat mustahil mengatakan pelanggaran itu boleh mematahkan mana-mana tulang rusuk anggota bomba itu.

“Melalui hipotesis, mangsa turun sendiri daripada van EMRS dan dilanggar pintu depan kenderaan itu ketika berundur kemudian terhumban ke hadapan dan lepas itu terdampar di bahu jalan.

“Hipotesis atau andaian ini dibuat berdasarkan hasil laporan pemeriksaan klinikal dan bedah siasat yang dijalankan ke atas Muhammad Adib dan hasil rekonstruksi Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Selepas saksi itu selesai memberikan keterangan, Syazlin membantah permohonan Pegawai Pengendali Faten Hadni Khairuddin untuk memanggil semula Dr Ahmad Hafizam.

“Tiada keperluan memanggil semula saksi berkenaan kerana ini prosiding inkues dan bukannya perbicaraan,” katanya.

Koroner Rofiah Mohamad kemudiannya meminta kedua-dua pihak memfailkan hujahan masing-masing dan menetapkan Isnin ini sebagai tarikh mendengar hujahan.

Muhammad Adib yang juga anggota van EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di IJN.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 4:27 PM