Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


LELAKI dicekup bersama lebih enam kilogram (kg) dadah jenis heroin dalam serbuan dijalankan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak berhampiran surau Plaza Tol Alor Pongsu, Bagan Serai, Ipoh, petang kelmarin.

Dalam serbuan jam 4 petang itu, suspek berusia 50 tahun ditahan ketika keluar daripada kereta jenis Honda Accord dengan membawa beg hitam dipercayai untuk menyerahkannya kepada pembeli atau sindiket pengedaran dadah.

Berlaku pergelutan ketika suspek cuba ditahan, namun polis berjaya memberkasnya dan merampas beg galas dibawa lelaki terbabit.

Ketua JSJN Perak, Asisten Komisioner V R Ravi Chandran berkata, hasil penahanan suspek dan pemeriksaan terhadap beg dibawanya menemui 15 bungkusan plastik mengandungi dadah disyaki heroin.

“Anggaran berat dadah dirampas adalah 6,865 gram dengan nilai RM274,609 selain boleh diagihkan kepada kira-kira 10,298 individu.

“Turut dirampas kenderaan dinaiki suspek dianggarkan bernilai RM30,000 dan suspek kini direman sehingga 25 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini.

Menurutnya, hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes samun dan gaduh, namun ujian saringan awal air kencingnya didapati negatif dadah.

“Polis kini sedang menyiasat lokasi bekalan dadah itu diperoleh dan kepada individu yang akan diserah atau diedarkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 4:51 PM
V R Ravi Chandran (dua dari kanan) menunjukkan dadah jenis heroin dirampas dalam serbuan di Plaza Tol Alor Pongsu, Bagan Serai. FOTO Abdullah Yusof