KESAN simbahan cat ungu di pintu masjid Masjid Tengkera Bandar Hilir berusia 600 tahun. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Fhatihah Zakinan


TOMPOKAN cat berwarna ungu pada pintu masjid mengejutkan jemaah Masjid Tengkera yang datang untuk menunaikan solat Subuh awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu di hadapan masjid berusia 600 tahun, Bandar Hilir, Melaka, itu disimbah cat oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga perkara itu tular di media sosial.

Difahamkan, kejadian disedari bapa kepada salah seorang jemaah sebelum membuat laporan polis memaklumkan kedua-dua pintu masjid disimbah cat berwarna ungu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pengadu berusia 40 tahun berada di Surau Kampung Lapan bagi menunaikan solat Subuh, namun dihubungi bapanya mengenai kejadian itu.

“Selepas dimaklumkan pekerja masjid mengenai seorang lelaki yang melakukan tindakan berkenaan, pengadu kemudian membuat laporan polis sebelum suspek berusia 38 tahun berjaya ditahan tidak lama kemudian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, suspek ditahan di sekitar masjid kira-kira jam 8.30 pagi dan pihaknya turut merampas satu tin cat berwarna ungu.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, kes simbah cat berkenaan tular di laman sosial sejak pagi tadi.

Cat ungu itu dipercayai disimbah ke arah pintu Masjid Tengkera yang juga antara masjid tertua di Melaka sehingga mendapat kecaman netizen yang kesal dengan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 5:58 PM