AZRI melihat bangkai ular sawa yang diserang ayam peliharaannya. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar
cnews@nstp.com.my


SEEKOR ular sawa mati diserang sekumpulan ayam kampung di Ladang Ayam Sebang Agrofarm, Kampung Pulau Sebang, Alor Gajah.

Dalam kejadian Isnin lalu, pemilik syarikat berkenaan, Azri Khairi Juaher, 27, dan rakan kongsinya, Mohd Hafiz Noordin, 50, melihat puluhan ayam kampung peliharaan mereka mematuk ular berkenaan hingga mati.

Azri Khairi berkata, dalam kejadian jam 8 pagi itu, dia dan rakannya terdengar bunyi bising dari arah pagar ladang seluas kira-kira 0.6 hektar dan mereka bergegas ke lokasi kejadian.

“Kami terkejut melihat seekor ular sawa sepanjang kira-kira tiga meter yang kekenyangan kerana membaham dua hingga tiga ayam tersangkut pada pagar ketika mencuba melarikan diri.

“Kepalanya sudah keluar tetapi perutnya tersangkut pada pagar menyebabkan puluhan ayam kampung mematuknya bertubi-tubi,” katanya ketika ditemui hari ini.

Azri berkata, sebelum kejadian, dia dan Mohd Hafiz menyedari ada ayam mereka hilang tetapi gagal mengesan ular atau musang atau haiwan pemangsa lain.

“Kami hanya melihat kejadian itu kerana bimbang kalau reptilia itu dapat melepaskan diri dan menyerang kami pula,” katanya.

Dia berkata, ular itu diserang dalam tempoh kira-kira 10 minit sebelum mati.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 5:59 PM