Redzuan Muharam
am@hmetro.com.my

“TAK tahu bagaimana nak gambarkan perasaan, hanya Allah SWT yang tahu dan dapat membalasnya. Terima kasih Harian Metro,” kata Mohamad Ali Hassan, 79, yang menerima sumbangan sempena program ziarah Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) di rumahnya di Kampung Sungai Chinchin, di sini semalam.

Sumbangan barangan keperluan itu disampaikan Pengarang Kumpulan Harian Metro Tuan Asri Tuan Hussein.

Mohamad Ali berkata, sumbangan ini besar maknanya dan dapat meringankan beban sebagai bapa tunggal sejak kematian isteri lapan tahun lalu.

Beliau dikurniakan tiga anak berusia 19 hingga 22 tahun dan dua daripada mereka tinggal bersama.

“Setiap bulan, pihak zakat menghantar barangan keperluan seperti beras, minyak masak, gula dan tepung.

“Syukur kini Harian Metro pula tampil menghulurkan sumbangan ke rumah saya yang uzur ini.

“Sikit atau banyak bukan soalnya kerana ingatan itu lebih penting sebagai bukti masih ada yang prihatin dengan nasib saya,” katanya.

Program TKHM mendapat kerjasama Hospital KPJ Tawakal Kuala Lumpur dan memasuki tahun ke-12 sejak penganjuran sulungnya pada 2007.

Hadir sama, Ketua Komunikasi Korporat NSTP Wan Abdillah Wan Nawi, Pengarang Eksekutif Komersial Harian Metro, Husain Jahit, Pengarang Berita Harian Metro Noor Azam Abd Aziz, AJK Kerohanian Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Abdul Rashid Ariffin dan AJK Komunikasi MPKK Ibrahim Bidin.

Berkongsi persiapan menjelang Ramadan, Mohamad Ali berkata, hanya sumbangan diterima menjadi bekalan sepanjang bulan berkenaan.

Malah, rutin hariannya juga sama seperti tahun sebelumnya iaitu ke masjid untuk solat Tarawih dan berbuka puasa.

“Saya berbuka puasa di masjid dan lebihan makanan yang diberi disimpan bersahur.

“Walaupun tidak mewah, saya bersyukur masih sihat, cuma mata kiri kabur manakala pendengaran juga kurang jelas,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan kebimbangan Mohamad Ali berikutan dinding rumahnya yang retak manakala struktur kayu semakin uzur dimakan anai-anai.

Kesempitan hidup menyebabkan Mohamad Ali bertahan mendiami rumah itu kerana tiada modal membaiki kerosakan atau menyewa rumah lain.

Berita berkaitan:

  • Tunggu masa sembah bumi [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 6:01 PM
    TUAN Asri (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Mohamad Ali (dua dari kanan) sempena program ziarah Titipan Kasih Harian Metro sambil diperhatikan Wan Abdillah (dua dari kiri), Abdul Rashid (kiri) dan Ibrahim. FOTO Rosdan Wahid