GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP


ORANG ramai perlu mengelak daripada terperangkap dengan perang jualan murah menjelang Aidilfitri supaya tidak berbelanja melebihi kemampuan hingga terpaksa meminjam along.

Ketua Biro Aduan MCA Johor, Michael Tay Chee Boon berkata, setiap tahun jumlah mangsa along yang mendapatkan bantuan meningkat menjelang perayaan seperti Tahun Baru Cina, Aidilfitri dan Deepavali.

Katanya, kebiasaannya beliau menerima 30 aduan berkaitan along sebulan, bagaimanapun menjelang musim perayaan jumlah aduan bertambah hampir sekali ganda.

“Apabila ditanya, kebanyakan mangsa mendakwa berbelanja melebihi pendapatan menyebabkan mereka terpaksa meminjam along untuk meneruskan hidup hingga hujung bulan.

“Malangnya, keadaan itu menyebabkan mereka lebih tertekan apabila terpaksa membayar kadar faedah tinggi hingga meminjam beberapa along lagi,” katanya.

Menurut Micheal, keadaan lebih malang bagi peniaga yang meminjam along dengan tujuan menambah modal menjelang perayaan tetapi tidak mampu membayar kadar faedah yang dikenakan.

Katanya, keadaan itu menyaksikan ada peniaga terpaksa menjual gerai atau perniagaan untuk menjelaskan hutang kerana tidak tahan diganggu along hampir setiap hari.

“Biro aduan MCA masih beroperasi seperti biasa dan kami membantu orang ramai, namun mangsa perlu berjanji menyelesaikan hutang berkenaan.

“Bantuan yang diberikan tidak bermakna mereka tidak perlu menjelaskan hutang, sebaliknya sekadar menghentikan kadar bunga tinggi dikenakan along.

“Perkara paling penting adalah berbelanja mengikut kemampuan bagi mengelak terjerumus dalam masalah itu,” katanya. Menurutnya, ramai mangsa hanya meminjam RM1,000 namun berhutang sehingga RM10,000 berikutan kegagalan mereka menjelaskan faedah yang tinggi.

“Ada pula bermula dengan RM1,000 daripada seorang along meningkat RM20,000 membabitkan empat along,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 6:37 PM