Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my


KERAJAAN Selangor mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menjalankan ujian keasidan tanah dan punca air bawah tanah di sekitar Kampung Jenjarom, di sini.

Ujian selama dua minggu itu susulan pembebasan bahan kimia secara haram oleh sebuah kilang bateri yang beroperasi di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal-Ehwal Pengguna negeri, Hee Loy Sian berkata, penduduk setempat sebelum ini mengadu mengenai tahap asid yang tinggi di luar kawasan kilang itu walaupun bacaan pada paras tidak membimbangkan.

“Bacaan terkini di kawasan pelepasan pada kadar 6.0 dan ia cukup baik. Mungkin juga kadar bacaan di sekitar kilang tinggi ekoran daripada rekahan yang berlaku ketika kebakaran dan asid sudah menyerap ke dalam air bawah tanah.

“Kita akan menjalankan kajian selama dua minggu untuk memastikan sama ada tahap bacaan asid masih tinggi seperti yang didakwa. Selain itu, kilang berkenaan bersetuju merobohkan tempat peleburan plumbum namun tidak boleh berbuat demikian ketika ini kerana masih disita,” katanya selepas mengadakan lawatan ke kilang itu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JAS negeri, Shafe’ee Yasin.

Loy Sian berkata, pengurusan kilang itu sudah diarah membaiki rekahan dikesan pada kawasan pelepasan sisa di premis itu susulan tindakan sitaan oleh Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dan JAS pada Januari lalu, manakala lesennya dibatalkan 15 Mac lalu.

“Pemilik kilang itu juga tidak dibenarkan meneruskan aktiviti peleburan plumbum dan kitar semula bateri berikutan ia melanggar syarat lesen operasi ditetapkan.

“Kita mendapati kilang yang beroperasi di kawasan industri sederhana ini hanya dibenar menjalankan kerja pengisian asid ke dalam bateri. Namun, kilang itu dikesan turut melakukan peleburan plumbum dan disita sejak 30 Januari lalu,” katanya.

Sementara itu, Shafe’ee berkata, sampel tanah dan air bawah tanah sudah diambil pihaknya dan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

“Perlu ada Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi aktiviti peleburan plumbum. Jika laporan itu tiada, tindakan boleh diambil terhadap pemilik kilang mengikut Akta Alam Sekitar 1974.

“Kita dalam proses akhir melengkapkan kertas siasatan dan akan mengemukakannya kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Dahlia Tahiri, 56, berkata dia sekeluarga bimbang dengan tahap kebersihan udara serta air di kawasan sekitar berikutan kewujudan kilang berkenaan.

“Saya tinggal bersama suami, anak-anak dan cucu. Justeru, saya bimbang dengan kesihatan kami terutama cucu dan menantu yang sedang hamil.

“Persekitaran berasid semestinya tidak baik untuk kami dan diharap supaya kilang itu ditutup atau dipindahkan ke lokasi jauh daripada penempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 6:38 PM
HEE Loy Sian (dua kanan) membuat tinjauan kawasan kilang bateri Leoch Accupower (M) Sdn Bhd yang menyebabkan pencemaran di sekitar penduduk Kampung Jenjarom. FOTO Roslin Mat Tahir