ZURAIDA bergambar kenangan bersama pegawai dan anggota JPBM Perlis. FOTO BERNAMA
Aizat Sharif
mohd.aizat@mediaprima.com.my


KERAJAAN menggalakkan supaya lebih ramai golongan wanita dapat menyertai perkhidmatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) .

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, daripada 40,000 anggota bomba di negara ini, hanya sekitar 700 anggota bomba terdiri daripada golongan wanita.

“Daripada 40,000 anggota bomba, lima peratus daripadanya adalah golongan wanita dan jauh daripada sasaran kita iaitu 30 peratus untuk melihat golongan wanita dalam perkhidmatan bomba.

“Jadi untuk permulaan, kita mensasarkan dahulu sekurang-kurangnya 10 peratus pembabitan wanita dalam JBPM menjelang tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyampaian Insurans Keselamatan Anggota Bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Kangar, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Datuk Amer Yusof.

Katanya, walaupun ramai melihat terdapat keterbatasan golongan wanita dalam kerja dan menyelamat, ia bukanlah penghalang bagi golongan ini untuk bergerak seiring dengan anggota lelaki.

“Tidak semestinya tugasan anggota bomba hanya membabitkan tugasan berat seperti memanjat bangunan dan sebagainya.

“Ada tugasan di lapangan atau ‘ground’ di mana golongan wanita ini boleh laksanakan seperti kaunseling, kesedaran awam dan langkah pencegahan serta latihan ringan mencegah kebakaran kepada suri rumah tangga,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mendapati ramai calon bomba wanita gagal terutama dalam ujian memanjat tali pada bangunan sehingga menyukarkan pengambilan anggota daripada golongan berkenaan.

“Jadi, saya mohon JBPM dapat mempertimbangkan dan menyemak semula ujian kelayakan untuk golongan wanita supaya penyertaan ini dapat diteruskan pada masa depan.

“Kita tidak mahu perkhidmatan ini hanya dimonopoli satu golongan sahaja dan ini penting untuk negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 7:08 PM