AS melabel Malaysia sebagai negara indikator K kerana isu penculikan di timur Sabah. FOTO Arkib NSTP
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


WISMA Putra sudah memanggil Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir bagi meminta penjelasan berhubung tindakan menyenaraikan Malaysia sebagai negara yang tidak selamat melalui panduan perjalanan yang dikeluarkan negara itu, baru-baru ini.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Lakhdhir sudah dipanggil ke Wisma Putra, kelmarin, dan pihaknya menyampaikan pandangan serta protes mengenai tindakan yang dilakukan Amerika Syarikat (AS) itu.

“Kita minta dia (Lakhdhir) beri penjelasan dan beliau juga beri pandangannya mengenai perkara itu.

“Saya harap Washington dapat ubah label K itu secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival sukan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri di Stadium Hoki Indera Mahkota, Kuantan, hari ini.


SAIFUDDIN ketika menjawab soalan media pada majlis perasmian Karnival Sukan ICU Jabatan Perdana Menteri di Kuantan, FOTO Farizul Hafiz Awang

AS pada 9 April lalu menandakan Malaysia sebagai indikator ‘K’ berikutan negara ini dikatakan berisiko berlaku penculikan dan dijadikan tebusan di beberapa kawasan di timur Sabah.

Berikutan itu Kementerian Luar dalam kenyataannya, menyangkal dakwaan itu dan menegaskan panduan perjalanan baru itu tidak menunjukkan situasi sebenar keselamatan di timur Sabah.

Saifuddin yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Harapan berkata, Wisma Putra memahami setiap negara mempunyai panduan perjalanan ke luar negara masing-masing dan begitu juga Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, tindakan melabelkan Malaysia sebagai negara yang berisiko dengan kejadian penculikan menyebabkan Malaysia berada bersama negara lain yang berada dalam statistik kejadian penculikan yang tinggi.

“Tindakan itu menyebabkan kita tergolong dalam 34 negara yang berisiko dengan insiden penculikan. Ia sesuatu yang tidak baik untuk negara dan pelancongan,” katanya.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berharap AS dapat mengubah indikator ‘K’ itu secepat mungkin sekali gus membersihkan imej negara di mata pelancong.

Sementara itu, mengulas mengenai gempa bumi melanda wilayah Hualien, Taiwan, semalam, Saifuddin berkata, setakat ini seorang rakyat Malaysia yang terbabit dalam kejadian itu sedang menerima rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil.

Mangsa dikenali sebagai Choo Yip Chean, 44, dilaporkan cedera selepas terkena runtuhan batu ketika melawat Taroko Gorge National Park di wilayah berkenaan susulan gempa berskala 6.1 dan 4.1 Magnitud menggegarkan negara itu.

Berita berkaitan

Tiada pelancong Eropah, AS batal lawat Sabah

AS senaraikan Malaysia sebagai negara 'K'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 8:10 PM