ANGGOTA bomba membantu menanggalkan cincin yang tersangkut pada jari lelaki warga emas. GOTO Ihsan Bomba
Hidayatul Akmal Ahmad


LELAKI warga emas sanggup menahan kesakitan selama enam bulan meskipun jari manis tangan kiri bengkak selepas cincin dipakainya tidak boleh ditanggalkan.

Lelaki berusia 62 tahun dari Selayang, Selangor itu juga hanya memakan ubat tahan sakit yang dibeli di farmasi bagi mengurangkan kesakitan ditanggung.

Difahamkan, lelaki terbabit enggan mendapatkan rawatan kerana bimbang jarinya akan dipotong sebelum dibawa anggota polis ke hospital selepas menerima maklumat daripada jiran warga emas itu

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pegawai Bomba Kanan II S S Thirugayah berkata, pihaknya menerima panggilan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) 7.05 malam semalam bagi mendapatkan bantuan.

“Sepasukan empat anggota bomba dan seorang pegawai dihantar ke HKL bagi membantu memotong cincin pada jari manis seorang lelaki.

“Sebaik tiba lelaki terbabit sedang menahan kesakitan akibat empat cincin yang disarung pada jari manis tangan kirinya gagal ditanggalkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa kira-kira satu jam untuk memotong cincin berkenaan menggunakan alat pemotong.

Katanya, proses pemotongan perlu dilakukan dengan teliti berikutan jari lelaki terbabit membengkak.

“Akibat terlalu lama, keadaan jari lelaki itu sudah berkulat dan bernanah sebelum menerima rawatan lanjut di HKL,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 8:50 PM