GAMBAR hiasan
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


TIGA individu diberkas kerana dipercayai memeras ugut bapa kepada pelajar sekolah menengah di Taiping, yang ditahan polis akibat bergaduh Isnin lalu.

Kesemua suspek terbabit ditahan 3.30 petang di kedai kopi di pekan Taiping ketika menerima wang peras ugut itu sebanyak RM6,000 daripada mangsa kononnya bagi membantu membebaskan pelajar itu.

Sebelum menyerahkan wang itu, mangsa berusia 40-an dihubungi seorang wanita pada 9 pagi hari sama, memberitahu dia perlu menyediakan wang RM15,000 jika ingin membebaskan anak lelakinya berusia 16 tahun yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, berkata

wang berkenaan kononnya untuk diberikan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Taiping, Deputi Superintendan (DSP), Leong Mun Choon sebagai ganjaran.

Katanya, mangsa yang ingin membebaskan anaknya kemudian berusaha mencari duit dengan meminjam kepada along dan hanya dapat mengumpulkan duit sebanyak RM6,000.

“Lelaki berkenaan terus ke IPD Taiping dan berjumpa dengan DSP Leong untuk memberitahu hanya mendapat duit sebanyak RM6,000.

“DSP Leong memberitahu mangsa perkara itu (ganjaran) adalah tidak benar dan mengesyaki namanya digunakan serta menasihat mangsa membuat laporan polis,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Osman berkata, siasatan awal mendapati anak mangsa ditahan bersama tiga rakannya serta seorang ahli kongsi gelap kerana dipercayai terbabit dalam kes gaduh.

“Susulan penahanan lima remaja terbabit, kesemua ibu bapa mereka dikatakan menerima panggilan telefon yang meminta menyediakan wang sebanyak RM15,000, namun hanya bapa kepada seorang daripadanya yang mengumpul duit untuk membayar.

“Berdasarkan laporan dibuat bapa pelajar terbabit, polis menangkap dua wanita dan seorang lelaki berusia 36 tahun hingga 50 tahun di sebuah kedai kopi di pekan Taiping, semasa lelaki berkenaan menyerahkan duit RM6,000,” katanya.

Katanya, seorang suspek wanita kini direman empat hari, manakala dua lagi suspek direman dua hari bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana peras ugut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 11:32 PM