PERAGUT ditahan dengan bantuan orang ramai selepas meragut pelancong asing warga Perancis di Banda Hilir, Melaka. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


TINDAKAN pantas orang ramai yang membantu pelancong asing di ragut, membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan, dalam kejadian ragut di Jalan Hang Lekiu, Banda Hilir di Melaka, semalam.

Difahamkan dalam kejadian 7.30 malam itu, wanita warga negara Perancis melancong seorang diri, baru selesai membeli barang di kedai di Jonker Walk, dan mahu pulang ke rumah tumpangan di Jalan Kampung Pantai, Melaka.

Menurut sumber, mangsa berjalan kaki dan membawa kamera jenis Fujifilm Finepix S berwarna hitam yang disandang di bahu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, ketika melalui Jalan Hang Lekiu, mangsa terserempak dengan suspek dan ketika kejadian hanya mereka berdua di jalan terbabit.

“Mangsa ditolak suspek ke tepi dan berlaku pergelutan sebelum suspek melarikan kamera milik mangsa.

“Bagaimanapun, ketika bergelut, mangsa menjerit lalu orang awam yang mendengar jeritan itu menghampirinya diberitahu kehilangan kamera.

“Orang awam bertindak mengejar dan menahan suspek, sebelum menyerahkannya kepada polis,” katanya ketika dihubungi.

Afzanizar berkata, akibat pergelutan dengan suspek, mangsa mengalami kecederaan luka di dahi, bahu dan lengan kiri.

Beliau berkata, suspek yang ditahan berusia 32 tahun beralamat di Seremban Selatan, Negeri Sembilan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 12:55 AM