RAKAMAN CCTV perbicaraan Najib yang tular di Facebook. FOTO tular Facebook
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@mediaprima.com.my


BARU memasuki hari kelima perbicaraan, prosiding mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tercemar apabila rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam kamar mahkamah mula tular di laman sosial Facebook.

Video berdurasi dua minit 12 saat itu yang bertajuk ‘Hari kelima perbicaraan Datuk Seri Najib’ memaparkan rakaman peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sedang menyoal saksi terbabit dalam kes itu.

Difahamkan, rakaman itu dimuat naik menerusi akaun bekas pegawai khas Najib, Isham Jalil tengah hari semalam dan sudah ditonton lebih 227,000 kali, dikongsi lebih 3,700 akaun Facebook dan mendapat lebih 1,900 komen.

Menerusi tajuk dimuat naik Isham, adalah dipercayai bahawa rakaman CCTV itu diambil ketika prosiding hari kelima Najib di Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Ahli Jawatankuasa Biro Perundangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Saiful Ambar Abdullah Ambar ketika dihubungi berkata, akan membuat laporan polis berhubung penularan video itu.

Katanya, tindakan menularkan rakaman dalam kamar mahkamah ketika perbicaraan berlangsung bertentangan dengan sistem perundangan negara ini dan satu penghinaan pada mahkamah.

“Saya percaya rakaman dalam kamar mahkamah hanya boleh diperoleh pihak tertentu dibenarkan mahkamah dengan syarat yang sangat ketat.

“Ia pasti tidak boleh diedarkan, disalin semula atau dimuat naik dalam sebarang bentuk, termasuk untuk tontonan umum di media sosial,” katanya.

Menurut Saiful, tindakan Isham itu seolah-olah menggambarkan bahawa mahkamah tidak memberi peluang kepada Najib sekiranya didapati bersalah.

Katanya, perbicaraan itu sepatutnya diserahkan sepenuhnya kepada pasukan peguam dilantik Najib dan tidak perlu camour tangan pihak luar.

“Perbuatan Isham itu jelas menghina mahkamah dan saya ingin memberi amaran kepadanya untuk berhenti menjadi pembela Najib di luar mahkamah.

“Dia seharusnya membiarkan peguam bela yang dilantik Najib (Muhammad Shafee), untuk mengendalikan perbicaraan kes itu,” katanya.

Sebelum ini, Najib pernah memohon kepada mahkamah untuk menyiarkan secara langsung prosiding perbicaraan kesnya, namun ditolak.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 1:01 AM