PINTU utama di aras bawah bangunan yang digunakan sebagai laluan masuk sebelum ini ditutup kerana disita.
Skuad Khas Harian Metro


KUALA LUMPUR: Walaupun sudah disita dan masih dalam siasatan pihak berkuasa tempatan (PBT) namun sebuah premis hiburan di Jalan Ampang di sini, dikesan masih meneruskan operasi mereka.

Premis menyediakan bilik untuk pelanggan berhibur dari harga serendah RM1,500 hingga RM25,000 selain turut menyediakan khidmat pelayan pelanggan (GRO) warga asing.

Difahamkan, pemilik premis berkenaan tidak mempunyai masalah untuk meneruskan operasi mereka kerana dipercayai membayar ‘yuran’ perlindungan kepada pihak tertentu.

Sumber berkata, premis terbabit pernah diserbu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama beberapa agensi penguat kuasa lain menerusi operasi Banteras Aktiviti Haram (Op Bah), November lalu.

Bagaimanapun, katanya, premis berkenaan masih meneruskan operasi walaupun tidak mempunyai lesen hiburan.

“Tindakan berani premis berkenaan dikatakan selepas mendapat ‘lampu hijau’ daripada pihak tertentu selepas membayar sejumlah wang sogokan,” dakwanya.

Dalam operasi sebelum ini, premis terbabit disita dan dikenakan tindakan Sealed mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan 1992 kerana mengadakan hiburan tanpa lesen.

Selain itu, dalam operasi sama seramai lapan individu turut ditahan selepas hasil saringan ujian air kencing didapati mereka positif dadah.

Bagi membongkar aktiviti tidak bermoral pusat hiburan yang masih beroperasi termasuk menyediakan khidmat GRO warga asing itu, Skuad Khas Harian Metro membuat tinjauan, baru-baru ini.


TINJAUAN Harian Metro dedah GRO warga asing yang disediakan.

Tinjauan mendapati mereka mengubah operasi dengan hanya menggunakan pintu yang berada di tingkat empat bangunan berkenaan sebagai laluan masuk kepada pelanggan.

Ini kerana pintu utama yang berada di aras bawah bangunan yang digunakan sebagai laluan masuk sebelum ini ditutup kerana disita.

Malah, tinjauan mendapati notis pemberitahuan sitaan oleh DBKL di dinding pintu masuk utama masih terlekat namun ditutup dengan plastik hitam.

Difahamkan, terdapat beberapa pakej ditawarkan oleh pusat hiburan terbabit dan harganya bergantung kepada keluasan bilik serta kelengkapan hiburan yang disediakan bermula dari RM1,500 hingga RM25,000.

Setiap pakej turut disediakan minuman keras, makanan ringan dan buahan sebagai hidangan pelanggan sewaktu berhibur.

Malah, sewaktu tinjauan itu wartawan turut berbual-bual dengan seorang pekerja dan lelaki berkenaan memaklumkan premis itu turut menyediakan khidmat GRO terutama dari China.

Bagaimanapun, pelanggan perlu membuat tempahan awal bagi mendapatkan khidmat GRO berikutan pelayan wanita yang disediakan tidak mencukupi dan sentiasa mendapat tempahan pelanggan.

Sementara itu, sumber DBKL berkata, pusat hiburan berkenaan masih disita berikutan dalam tindakan mahkamah.

“Premis itu sepatutnya tidak boleh beroperasi sepanjang tempoh sitaan.

“Difahamkan, pemilik pusat hiburan itu ada memohon permit (hiburan) baru, namun ia masih belum diluluskan berikutan sitaan masih tindakan mahkamah.

“Berdasarkan prosedur permohonan permit, DBKL akan merujuk kepada rekod pusat hiburan berkenaan sama ada premis itu pernah melakukan perlanggaran syarat atau sebaliknya sebelum ia diluluskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 6:31 AM