JENTERA pemadam kebakaran JBPM yang tersadai akibat kerosakan.
Aizat Sharif


KANGAR: Kerajaan akan meneliti terlebih dulu laporan menyeluruh jawatankuasa dalaman yang menyiasat isu jentera pemadam kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang tersadai akibat kerosakan sebelum mengambil sebarang tindakan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, buat masa ini pihaknya masih melihat sama ada wujud ketirisan oleh syarikat pembekal, Syarikat AVP Engineering (M) Sdn Bhd sehingga menyebabkan banyak jentera pemadam kebakaran itu tidak dapat digunakan.

“Syarikat AVP Engineering (M) Sdn Bhd memang pembekal kelengkapan serta jentera JBPM yang sudah diluluskan ketika itu (pentadbiran kerajaan terdahulu).

“Namun, kita tidak tahu sama ada wujud ketirisan dalam hal ini atau tidak. Sehingga jawatankuasa ini melakukan siasatan nanti, barulah diketahui maklumat seterusnya.

“Malah, dakwaan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azeez Rahim sebagai pengerusi syarikat ini juga tidak dapat dipastikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama Exco Perumahan dan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kangar (MPKPs) di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di Jalan Wawasan, semalam.

Katanya, jawatankuasa dalaman yang dibentuk ini akan dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan(KPKT) Zamri Salleh.

“Jawatankuasa ini juga dianggotai wakil daripada Bahagian Kewangan KPKT, Unit Audit Dalam KPKT, Unit Integriti, Bahagian Undang-Undang KPKT dan Bahagian Pembangunan dan Pelaksanaan Projek KPKT.

“Siasatan oleh jawatankuasa ini akan bermula serta-merta selepas ini.

“Namun secara amnya, setiap balai bomba di seluruh negara pasti ada jentera pemadam api yang rosak. Secara rutin, jentera ini perlukan pembaikan serta penyelenggaraan, ini perkara biasa,” katanya.

Zuraida berkata, berdasarkan prosedur jika ada jentera yang sudah tidak dapat digunakan, ia akan dilupuskan.

Akhbar ini dalam pendedahan eksklusif Isnin lalu menyiarkan kegagalan pembekal menyediakan reka bentuk dan pemasangan peralatan mengikut spesifikasi.

Ia dipercayai punca utama jentera pemadam kebakaran JBPM yang dibeli pada 2007, 2010 dan 2014 ‘tersadai’.

Malah, perolehan 242 jentera JBPM atau Fire Rescue Tender (FRT) bagi ketiga-tiga tahun itu membabitkan nilai RM420 juta.

Malangnya, hampir 40 peratus atau 97 jentera JBPM bernilai RM165 juta di seluruh negara terutama Selangor kini mengalami kerosakan pada putaran rotor di bahagian batang pemanduan dan sistem sadap kuasa atau power take off (PTO) menyebabkan jentera gagal berfungsi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 7:00 AM