Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


DUA lelaki Nepal yang mencabul pemandu Grab wanita dibelasah orang ramai sebelum diberkas polis di Bukit Minyak, Bukit Mertajam, petang semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, kedua-dua lelaki masing-masing berusia 23 dan 29 tahun itu berada dalam keadaan mabuk sebelum menggunakan perkhidmatan Grabcar dipandu seorang wanita berusia 27 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mangsa mengambil suspek di Jalan Stesen Bukit Mertajam yang mahu pulang ke Taman Juru.

Katanya, wanita berkenaan meminta kedua-dua mereka untuk duduk di kerusi penumpang bahagian belakang.

"Ketika dalam perjalanan, suspek berusia 23 tahun bertindak melangkah duduk di kerusi penumpang bahagian hadapan dan cuba dihalang mangsa.

“Pemandu wanita berkenaan kemudian memberhentikan keretanya di Jalan Betik dan meminta suspek untuk keluar dan duduk di kerusi penumpang hadapan," katanya.

Nik Ros Azhan berkata, ketika berada di Jalan Song Ban Kheng, suspek yang berada di kerusi penumpang hadapan memegang dan mencium tangan mangsa.

Katanya, selepas itu, suspek juga serta menarik badan wanita berkenaan ke arahnya sebelum meramas dada mangsa.

"Kejadian itu dihalang oleh mangsa namun suspek sekali lagi melakukannya sebelum wanita berkenaan memberi amaran untuk menghantar mereka ke balai polis berhampiran.

"Selepas diberi amaran, suspek tidak lagi bertindak sedemikian sehinggalah suspek berusia 29 tahun yang duduk di kerusi penumpang bahagian belakang muntah," katanya.

Menurutnya, sejurus selepas itu, suspek yang berada di kerusi penumpang hadapan bertindak agresif dengan menarik badan wanita berkenaan dengan kuat untuk memeluk mangsa.

Katanya, mangsa kemudian memberhentikan keretanya di Jalan Bukit Minyak dan keluar untuk meminta bantuan.

Nik Ros Azhan berkata, orang ramai yang berada berdekatan kawasan itu bertindak membantu mangsa selain membelasah suspek sehingga cedera di muka.

Katanya, mangsa adalah pemandu Grab sepenuh masa dan keretanya tidak dilengkapi dengan kamera.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditangkap oleh orang ramai sebelum diberkas pihaknya dan dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 9:32 AM
SUSPEK cedera dibelasah orang ramai. FOTO ihsan pembaca