KAMARUZAMAN menyampaikan anugerah kepada guru sempena Majlis Apresiasi Guru dan Staff MRSM Langkawi. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


SEMUA 54 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara bersedia menawarkan subjek bahasa asing secara berperingkat sebagai usaha membantu kerajaan melahirkan pelajar ‘multilingual’.

Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kamaruzaman Jaffar berkata, langkah itu bertujuan menjadikan lepasan MRSM mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Katanya, sehingga kini 10 MRSM sudah menawarkan subjek bahasa ketiga dengan didahului bahasa Arab membabitkan lima MRSM Ulul Albab iaitu di Kota Putera, Besut, Terengganu; Gemenchih, Negeri Sembilan; Kepala Batas, Kedah; Kuala Sungai Besar, Selangor dan Semporna, Sabah.

“Selain itu, bahasa Jepun turut ditawarkan di MRSM Langkawi, diikuti Perancis di MRSM Tun Abdul Razak, Pekan, Pahang dan MRSM Alor Gajah, Melaka, selain MRSM Pengkalan Chepa dan Tun Ghafar Baba, Jasin, Melaka untuk Mandarin.

“Sasaran kita semua 54 MRSM akan menawarkan bahasa ketiga, tetapi secara berperingkat berikutan kekangan kewangan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Guru dan Staff (MAGS) MRSM Langkawi, malam tadi.

Turut hadir, Pengetua MRSM Langkawi, Nordin Ahmad, Yang Dipertua Muafakat MRSM Langkawi, Datuk Sayed Alfeizal Sayed Ahmad dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi, Mohd Kamal Hashim.

Sementara itu, Sayed Alfeizal berkata, MAGS julung kali diadakan itu bertujuan menghargai sumbangan 150 guru dan staf yang membantu mengharumkan nama MRSM Langkawi tahun lalu.

“MRSM Langkawi menduduki tempat kedua selepas MRSM Tun Ghafar Baba dalam pencapaian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2018 daripada keseluruhan 54 MRSM Seluruh negara.

“Malah, lebih membanggakan apabila kita menduduki tempat pertama daripada 13 MRSM yang menawarkan program dwisijil, Cambridge International General Certificate Of Secondary Education (IGCSE) tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 9:46 AM