Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mungkin akan memanggil pegawai kanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, berhubung siasatan anggota dan pegawai jabatan itu yang menerima sogokan daripada pengusaha lori.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, mengikut proses siasatan biasa, pihaknya akan memanggil pegawai kanan yang disyaki terbabit bagi mengumpul bukti.

“SPRM tidak tolak kemungkinan untuk panggil (beri keretangan) pegawai kanan JPJ selepas kita panggil pegawai disyaki dan selepas mengumpul bukti, kami akan buat siasatan biasa. Kalau perlu kami akan panggil pegawai kanan terbabit,” katanya ketika ditanya sama ada SPRM akan memanggil Pengarah JPJ Pulau Pinang berhubung kes berkenaan.

Azam ditemui media selepas merasmikan Program Menembak bersama Unit Komunikasi Korporat (UKK) Agensi Penguatkuasa di Lapang Sasar Maktab Penjara Kajang, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Penjara Kajang, Abdul Halim Ma Hasan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, seramai 23 anggota dan pegawai JPJ Pulau Pinang diminta hadir di pejabat SPRM negeri itu untuk memberi keterangan hari ini.

“Saya dimaklumkan, pegawai sudah memberikan notis untuk datang hari ini iaitu tidak kurang 22 orang (pegawai JPJ),” katanya.

Diaju soalan bentuk hiburan dilakukan pegawai JPJ, beliau berkata, berdasarkan maklumat diterima pihaknya mendapati, selain bermain golf kumpulan itu menyalahgunakan kuasa bagi mendapatkan sogokan untuk tujuan berjudi.

Terdahulu, Harian Metro pada 17 April melaporkan sebahagian besar anggota penguat kuasa JPJ di Pulau Pinang dikesan mengutip wang rasuah daripada pemilik syarikat lori untuk diberi kepada pegawai atasan mereka bagi tujuan berhibur.

Malah, pada masa sama, anggota terbabit juga menggunakan wang itu untuk perbelanjaan peribadi selain menampung aktiviti hiburan pegawai atasan yang datang ke negeri ini atas sesuatu tugasan.

Kegiatan mereka terbongkar apabila 24 kakitangan JPJ negeri dan sembilan orang awam ditahan SPRM dalam satu operasi khas bermula jam 10 pagi kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 12:15 PM
AZAM Baki (dua dari kiri) bersama Abdul Halim (kiri) melihat senjata digunakan ketika Pertandingan Menembak bersama UKK Agensi Penguatkuasa 2019 di Lapang Sasar Maktab Penjara Kajang. FOTO Aizuddin Saad