PERALATAN dirampas dalam serbuan di Jalan Tun Mutahir 5, Kawasan Perindustrian Bandar Tenggara, Kota Tinggi. FOTO ihsan polis
Nurul Amanina Suhaini


MENYAMAR sebagai kontraktor pembaikan dengan memasang papan tanda dan kon menjadi helah lima lelaki untuk mencuri kabel milik Telekom Malaysia Bhd (TM).

Itu modus operandi sindiket dikenali Geng Kabel Lombok sebelum dua daripada mereka ditahan polis di Jalan Tun Mutahir 5, Kawasan perindustrian Bandar Tenggara, jam 5.30 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, susulan laporan polis berhubung kejadian mencuri kabel TM, pihaknya bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, apabila tiba, polis mendapati lima lelaki mencuri kabel milik TM.

“Suspek yang menyedari kehadiran polis melarikan diri bersama lori dan kami mengejar suspek ke kawasan Kulai.

“Anggota Balai Polis Bandar Tenggara dan tiga kereta peronda polis (MOV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai turut memberikan bantuan dan pada 6.30 pagi, kami berjaya menahan lori bersama dua lelaki Indonesia berusia 25 dan 45 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahsmon berkata, bagaimanapun, seorang daripada suspek melarikan diri di antara Jalan Balau, Taman Meranti dan Jalan Susur 1, Kulai Besar, manakala dua yang lain di kawasan berhampiran.

Katanya, hasil pemeriksaan di belakang lori menemui pelbagai jenis peralatan untuk mencuri kabel, selain dua gelung kabel dengan ukuran panjang masing-masing 114 meter serta 116 meter milik TM.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM34,272. Suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

“Suspek ditahan reman selama 14 hari sehingga 1 Mei ini dan kami percaya tangkapan itu berjaya menyelesaikan 30 kes kecurian kabel di Kota Tinggi sepanjang 2018 hingga tahun ini,” katanya.

Menurutnya, secara keseluruhan, jumlah kerugian dianggarkan bernilai kira-kira RM2 juta.

“Polis masih berusaha mengesan beberapa individu dipercayai ahli kumpulan sindiket ini yang masih bebas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 12:16 PM