PEGAWAI dan anggota BSPT IPD Ipoh menjalani LDP berkonvoi ke Pulau Pinang. FOTO Muhaizan Yahya
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


TANGGUNGJAWAB mengiring dan menjaga keselamatan VVIP adalah antara tugasan perlu dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khasnya Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT).

Bagi tujuan itu, pasukan berkenaan perlu sentiasa bersedia dalam membuat tugasan pengiring dan menjalani latihan berterusan terutama bagi anggota baru.

Dalam aspek berkenaan, BSPT Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, hari ini, mengadakan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) membabitkan 59 pegawai dan anggota pasukan termasuk lima wanita berkonvoi dari Ipoh ke Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, program selama tiga hari itu membabitkan perjalanan sejauh 375 kilometer melalui Jalan Persekutuan dari Ipoh, Sungai Siput, Kuala Kangsar, Taiping dan ke Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

“LDP ini bertujuan membimbing anggota BSPT yang menjalankan tugas pengiring supaya melakukan tugas dengan berilmu dan berkeyakinan serta menghasilkan impak baik kepada pasukan.

“Anggota baru dan lama perlu diberi pendedahan serta latihan di mana program seperti ini dapat memberi pengalaman dan memperbaiki kemahiran tunggangan,” katanya.

Pelepasan peserta LDP BSPT Ipoh yang diketuai Deputi Superintendan Roslan Mohamed disempurnakan Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Nordin Abdullah di perkarangan IPD Ipoh.

Mohd Ali berkata, objektif program berkenaan adalah memberi pendedahan dan keyakinan kepada anggota pengiring menjalankan tugasan mengiring VVIP, selain melahirkan semangat kerjasama berpasukan dan menjadikan anggota trafik yang tahan lasak dalam apa jua keadaan.

“Kumpulan sasaran peserta program latihan ini adalah anggota baru dan segelintir anggota lama yang tidak mencapai tahan dikehendaki sebagai anggota pengiring,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 12:34 PM