Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


POLIS akan membuat laporan berhubung penularan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika prosiding mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, laporan dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan berhubung penularan video berkenaan.

“Setakat ini kertas inkuiri polis (KEP) sudah dibuka bagi membolehkan siasatan dijalankan.

“Polis akan menyiasat dulu bagi melihat apa kesalahan yang ada,” katanya ketika ditemui selepas Program Ramah Mesra bersama penduduk Segambut di Taman Sri Segambut, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Mazlan berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung penularan video berkenaan.

“Sehingga kini tiada pihak tampil membuat laporan polis berhubung kejadian,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi dua minit 12 saat itu yang bertajuk ‘Hari kelima perbicaraan Datuk Seri Najib’ memaparkan rakaman peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sedang menyoal saksi dalam kes itu.

Difahamkan, rakaman itu dimuat naik menerusi akaun bekas pegawai khas Najib, Isham Jalil tengah hari semalam dan sudah ditonton lebih 227,000 kali, dikongsi lebih 3,700 akaun Facebook dan mendapat lebih 1,900 komen.

Menerusi tajuk dimuat naik Isham, dipercayai bahawa rakaman CCTV itu diambil ketika prosiding hari kelima Najib di Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Berita berkaitan

Rakaman CCTV bicara Najib tular

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 1:08 PM