FOTO Hiasan
Norasikin Daineh


ORANG ramai yang mempunyai saman trafik polis tertunggak boleh mendapatkan pengurangan 50 peratus ketika pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri yang diadakan di Dataran Bengkoka, Pitas, Kota Marudu, 1 Mei nanti.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, kaunter diskaun saman akan dibuka bermula jam 8 pagi hingga 5 petang sempena majlis pelancaran itu.

“Kaunter dibuka di kawasan berhampiran Indah Chalet di Dataran Bengkoka, Pitas bermula jam 8 pagi untuk mereka yang mempunyai saman trafik.

“Bagaimanapun, pengurangan sebanyak 50 peratus tidak tertakluk kepada beberapa kesalahan seperti saman kes kemalangan, memandu tanpa lesen memandu, saman sekat (blacklist), saman bagi kes yang sedang dibicarakan di mahkamah, saman Op Selamat 2019 dan saman membabitkan kenderaan lori,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Izaan meminta orang ramai supaya tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan pengurangan saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada hari berkenaan.

“Sebelum hadir ke kaunter, pengunjung dinasihatkan menyemak dan mencetak terlebih dahulu saman hendak dibayar di balai polis trafik berhampiran bagi memudahkan urusan.

“Semakan saman juga boleh dibuat melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) manakala untuk sebarang pertanyaan berhubung kelayakan pengurangan saman boleh menghubungi Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu di talian 088-661066/092/093 atau 088-663305,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 1:15 PM