ANTARA 71 pekerja warga asing tanpa identiti ditahan di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Juru. FOTO Ihsan JIM
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


PEMILIK sebuah kilang berdepan kompaun hampir RM1 juta kerana didapati menggaji 71 pekerja warga asing di premis miliknya di Kawasan Perindustrian Juru.

Semua pendatang asing tanpa izin (PATI) itu didapati bekerja tanpa sebarang dokumen pengenalan diri dan pas yang sah ketika diserbu sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), malam tadi.

Dalam operasi itu, semua PATI lelaki ditahan terdiri daripada 57 warga Bangladesh, 10 warga Vietnam dan masing-masing seorang dari Indonesia, Pakistan, Myanmar dan Nepal.

Ketua Penguatkuasa JIM negeri, Kholijah Mohamad berkata, pihaknya akan melaksanakan operasi berterusan bagi memburu PATI tidak kira sektor atau lokasi mereka bekerja.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kilang itu sengaja mencabar undang-undang kerana majoriti pekerja warga asing ditahan tidak mempunyai pasport atau pas yang sah untuk berada dan bekerja di negara ini.

“Siasatan lanjut akan dilakukan dan jika sabit kesalahan, pemilik kilang bakal berdepan denda RM710,000 atau dipenjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya.

“Setiap aduan diterima akan diambil tindakan sewajarnya dan saya berharap orang ramai tidak takut mengemukakan aduan,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, semalam, seramai 39 PATI dicekup di Kompleks Penjaja Solok Sungai Pinang, Georgetown.

Kholijah berkata, serbuan dilakukan 60 pegawai dan anggota penguatkuasa JIM dengan memeriksa 15 gerai menjalankan perniagaan makanan di situ.

“Seramai 50 pekerja diperiksa dan hasilnya seramai 39 PATI berjaya ditangkap atas pelbagai kesalahan.

“Mereka ditangkap terdiri daripada empat lelaki dan lima wanita Myanmar, 19 lelaki Bangladesh, dua wanita Indonesia, dua lelaki Syria, seorang lelaki Vietnam dan seorang Nepal.

Menurut Kholijah, kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39B akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 1:43 PM