TENTERA Darat Australia menunjukkan peralatan digunakan kepada murid SK Kem Pengkalan Chepa sempena Program Jiwa Murni bersama ATM. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris


SERAMAI 118 Tentera Darat Australia ‘menyerbu’ Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Pengkalan Chepa, Kota Bharu, hari ini, untuk bergotong-royong membersihkan persekitaran sekolah dan membina Gazebo yang bakal dijadikan pondok bacaan murid.

Kehadiran ramai tentera ‘mat saleh’ itu menarik perhatian murid dan ibu-bapa yang turut mengambil peluang berswafoto bersama mereka yang kebanyakannya tidak lokek dengan senyuman.

Pegawai Memerintah 30th Rifle Company Butterworth (RCB), Leftenan Kolonel Paul Michael Sanderson berkata, program itu diadakan sempena Program Jiwa Murni dengan kerjasama Tentera Darat Malaysia (ATM) dan pihak sekolah berkenaan.

Katanya, program itu adalah sebahagian daripada pengisian sempena Program Eksesais Haringgaroo yang perlu dijalani sepanjang dua minggu berada di negeri ini.

“Aktiviti turun padang bertujuan memberi sumbangan kepada komuniti setempat seperti gotong-royong membersihkan dan menceriakan persekitaran sekolah, membina gazebo serta sumbangan buku kepada pihak sekolah,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Hadir sama Pegawai Memerintah 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Pengkalan Chepa yang juga Yang Dipertua SK Kem Pengkalan Chepa, Leftenan Kolonel Mohd Farid Mohd Yusop.

Sementara itu, Guru Besar SK Kem Pengkalan Chepa, Saari Jusoh berkata, sumbangan 3,500 naskhah bahan bacaan dan buku akademik memberi manfaat kepada murid terutama calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Sebuah Gazebo turut dibina hasil kerjasama ATM dan Tentera Darat Australia yang akan dijadikan sebagai pondok bacaan murid.

“Saya mewakili pihak sekolah berbesar hati dengan segala sumbangan yang diberikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 2:08 PM