Lokasi kejadian yang mengakibatkan lelaki maut ditimpa kayu balak. FOTO Khalid Latip
Khalid Latip
cnews@nstp.com.my


PEKERJA balak maut selepas sebatang kayu balak jatuh ke arahnya dalam kejadian di Kilang Kayu Selalang, Sarikei semalam.

Kejadian 4.30 petang itu menyebabkan Akau Pilang, 46, maut di lokasi akibat parah di bahagian dada ketika mangsa dalam proses memunggah kayu balak berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Awang Arfian Awang Bujang berkata, kayu balak itu terburai daripada ikatan selepas tali yang mengikat longgokan balak terbabit terputus.

“Difahamkan, ikatan tali itu terputus mengakibatkan satu balak berkenaan menjunam ke arah mangsa yang ketika itu berada dalam bahagian kren.

“Kejadian berlaku pantas dengan mangsa tidak sempat lari menyelamatkan diri dan disahkan maut serta merta,” katanya hari ini.

Awang Arfian berkata, hasil siasatan tidak menemui unsur jenayah mahupun sabotaj dan kejadian dikategorikan sebagai kemalangan di tempat kerja.

Susulan itu katanya, satu laporan berhubung kejadian dibuat keluarga mangsa di Balai Polis Jakar di sini.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sarikei untuk dibedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 2:44 PM