Remaja yang menangis ditenangkan polis dalam operasi bersepadu semalam. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


REMAJA lelaki menangis ketakutan selepas ditahan polis kerana tidak memakai topi keledar dalam Ops Bersepadu Pencegahan Jenayah dan Rempit di Yan semalam.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, remaja terbabit terpaksa ditenangkan anggota polis selepas dia yang ketakutan menangis selepas disaman kerana tidak memakai topi keledar.

Menurutnya, remaja itu antara 60 orang yang diperiksa dalam operasi itu yang dijalankan di Jalan Sedaka Tengah, Jalan Pulau Bunting dan Pantai Murni bermula 5 petang hingga 10 malam tadi.

“Dalam operasi itu, 50 motosikal diperiksa sebelum kita mengeluarkan 42 saman atas pelbagai kesalahan trafik seperti tidak memiliki lesen, bawah umur, nombor pendaftaran, cermin sisi, tidak melekat lesen P serta tidak memakai topi keledar.

“Ketika operasi tiada kejadian tidak diingini berlaku dan operasi ini dijalankan bagi membanteras kegiatan samseng jalanan di daerah ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 2:54 PM