Kedai alat ganti kenderaan yang terbakar malam tadi. FOTO Ihsan Bomba
Iskandar Shah Mohamed


SUASANA di Taman Tanjong Karang Baru gempar apabila dua kedai alat ganti kenderaan terbakar selepas lebih sejam menutup operasi rutin perniagaannya, malam tadi.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, tindakan pantas bomba berjaya memadamkan kebakaran daripada merebak ke deretan premis lain.

Ia membabitkan kebakaran 80 peratus dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang Penolong Penguasa Bomba Azmi Abbas berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan 8.39 malam.

“Sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera dari BBP Tanjong Karang, Sekinchan, Kuala Selangor serta water tanker dari BBP Sungai Besar dikerah memadamkan kebakaran itu.

“Setibanya di lokasi dua lot kedai menjual alat ganti kenderaan terbakar. Kebakaran berjaya dikawal 30 minit,” katanya yang mengetuai operasi itu.

Azmi berkata, kebakaran hanya membabitkan bahagian bawah kedai dua tingkat itu.

“Ketika kejadian, premis itu dipercayai baru ditutup dan tiada sesiapa pada masa itu.

“Bantuan water tanker turut membantu kita memadamkan kebakaran daripada merebak ke premis lain,” katanya.

Beliau berkata, punca sebenar kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 4:08 PM