Antara kejadian mangsa dilanggar tren di Padang Besar pada 2017. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) mencatatkan 17 kematian akibat dilanggar tren di pelbagai lokasi sepanjang 1,655

kilometer landasan tahun lalu.

Ketua Komunikasi Korporatnya, Ahmad ‘Asri Khalbi berkata, KTMB turut merekodkan kes rempuhan membabitkan ternakan

di sepanjang laluan dengan 53 kes pada 2018.

Menurutnya, orang ramai diingatkan tidak mengambil mudah langkah keselamatan di sepanjang laluan tren bagi mengelak kejadian sama berulang.

“KTMB terus komited untuk mengurangkan kes berkenaan dengan menganjurkan pelbagai program pendidikan keselamatan kepada

masyarakat menerusi medium komunikasi interaktif, media sosial atau bersemuka dengan pelanggan.

“Taklimat keselamatan kereta api juga dijalankan di institusi pendidikan dan kawasan tumpuan masyarakat secara berkala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, KTMB juga berdepan cabaran semakin kompleks apabila set tren semakin canggih, senyap dan laju

menyebabkan aspek keselamatan tinggi perlu dilaksanakan.

Katanya, dalam pada itu, KTMB juga berdepan dengan kes kecurian kabel dan peralatan di sepanjang laluan antara Padang Besar di Perlis hingga Johor Bahru, Johor.

“KTMB merekodkan kerugian RM200,000 tahun lalu untuk membaiki kerosakan yang dialami akibat kemalangan dan

kecurian bagi memastikan operasi selama 365 hari berjalan lancar.

“Kerjasama semua pihak khususnya masyarakat setempat diperlukan KTMB agar operasi pengangkutan awam ini tidak terjejas demi keselesaan bersama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 4:18 PM